KUCHING: Lebih baik adakan pertemuan berbanding berdebat terbuka sesuatu perkara itu secara langsung, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang.
Beliau berkata demikian bagi memberi reaksi cabaran yang diketengahkan kumpulan Dayak Round Table kepada Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip untuk berdebat terbuka secara langsung bagi membahas isu bertajuk Komposisi Perkhidmatan Awam Negeri Adalah Berdasarkan Meritokrasi.
"Saya tidak fikir kita semua bersedia untuk itu memandangkan banyak kesan dan polemik yang tidak berkesudahan, tidak ada yang dapat memuaskan hati dari perdebatan ini," katanya kepada pemberita malam tadi.
Malah, Idris mencadangkan kumpulan yang mahu perdebatan itu mengadakan pertemuan mesra dengan kementerian atay Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri yang mempunyai komposisi pelbagai kaum dan dapat memberi maklumat serta penjelasan berdasarkan fakta dan angka.
"Mereka boleh bertanya apa-apa soalan munasabah yang mereka rasa relevan dan sesuai. Saya percaya ini adalah cara yang baik,"katanya.
Tegasnya lagi, mengadakan perdebatan hanya akan menghasilkan spekulasi dan ramalan persepsi yang tidak perlu dan tidak adil yang boleh dipergunakan orang yang tidak bertanggungjawab untuk menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini.
Idris berkata, beliau yakin bahawa satu cara pendekatan yang boleh dipersetujui jika semua orang bersama-sama memberi tumpuan terhadap keperluan untuk memelihara keharmonian semua kaum Sarawak.
"Saya berharap semua pihak agar menghormati, menghargai dan menjaga keharmonian serta perpaduan kita
"Saya memohon semua yang menghormati menghargai dan melindungi keharmonian dan perpaduan kita dengan cara yang terbaik," ujar Idris.
Semalam, kumpulan Dayak Round Table memberi Talib dua minggu untuk menjawab cabaran itu.
"Kami dari kumpulan Dayak Round Table dengan ini menyahut cabaran yang diberikan oleh Yang Borhormat Talib Zulpilip sebelum ini.
"Daripada dengan senyap mengemukakan kepadanya fakta dan statistik di pejabatnya, yang kemungkinan akan diketepikan, kami ingin mengadakan perdebatan terbuka secara langsung dengan YB Talib Zulpilip dengan tajuk perdebatan Komposisi Perkhidmatan Awam Negeri Adalah Berdasarkan Meritokrasi," kata ahli Kumpulan Dayak Round Table Alim G.A Mideh pada sidang media di sini semalam.
Alim berkata, sebelum ini dilaporkan dalam portal berita dalam talian tempatan bahawa Talib telah mempertahankan komposisi perkhidmatan awam dalam kerajaan Sarawak dengan menyatakan ia adalah berdasarkan meritokrasi.
Jelasnya, beliau (Talib) juga mencabar mereka yang tidak bersetuju dengan kenyataannya untuk tampil dengan fakta dan statistik.
"Pada 17 September tahun ini, dalam Konvensyen Kebangsaan Dayak di BCCK yang dihadiri lebih 1,500 peserta Dayak dari pelbagai bahagian di Sarawak, kami telah mengetengahkan ketidakadilan dalam perkara tersebut," ujarnya.
Mengulas lanjut debat itu, Alim berkata, ia akan disiarkan secara langsung menerusi media siber, dan tempat serta masanya, komposisi hadirin dan formatnya akan dipersetujui kedua-dua pihak. - UTUSAN BORNEO
Lebih baik adakan pertemuan mesra berbanding debat terbuka: Idris
Reviewed by Admin
on
November 16, 2018
Rating:
Reviewed by Admin
on
November 16, 2018
Rating:

No comments: