SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan beliau meminta Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tidak melakukan pemilihan semula bagi Cabang Julau adalah bagi menjaga kepentingan PKR.
Presiden PKR itu berkata, walaupun beliau tidak berpuas hati dengan masalah yang timbul pada hari pemilihan cabang itu pada 10 November lalu, tindakannya adalah untuk menyelamatkan parti dan memastikan kongres berlangsung mengikut jadual.
“Saya tak mahu panjangkan hal ini. Saya tahu keputusan itu kerana (ada) desakan. Saya tahu sindiran mengenai (pemilihan parti di) Julau, Sarawak. Saya ambil pendirian, mendepani masalah.
“Saya nak beritahu, mengapa saya, kalau salah saya minta maaf, saya cadangkan kepada Biro Politik, tutup saja kes Julau, walau ada desakan pemilihan semula dibuat. Itu keputusan saya,” katanya.
Jelas beliau, kalau ditangguh, cadangannya ialah buat pemilihan semula kerana pada jam 2 petang, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din, menghubunginya bagi memaklumkan tablet untuk mengundi diceroboh pada jam 4 pagi.
“Saya berpendapat, kalau sah tablet diceroboh, batalkan (pemilihan) hari itu juga dan buat mesyuarat segera tetapi keputusannya (di tangan) JPP. JPP putuskan untuk tangguh dan bincang, tiga hari. Pada hari Selasa, saya pertama kali saya campur tangan, saya cadangkan, tak usah buat pemilihan semula.
“Sebab kalau buat semula (pemilihan), selepas pemilihan hampir selesai, orang dah tahu undi nanti, orang tafsirkan Julau jadi penentu (bagi jawatan Timbalan Presiden),” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Kongres Nasional Keadilan ke-13 di sini, hari ini.
Anwar berkata, bagi mengelakkan isu berkenaan menjadi lebih kusut, beliau menghubungi Rafizi dan menjelaskan alasan keputusan supaya tiada pemilihan semula di Julau.
“Maka saya minta maaf, kerana kalau ada pihak rasa saya tidak berprinsip kerana terus iktiraf (keputusan jawatan Timbalan Presiden) walau ada kecacatan. Untuk ini, bila saya hubungi Rafizi (Ramli), saya jelaskan, terima kasih beliau terima baik,” katanya.
Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi sebelum ini mengumumkan beliau menerima keputusan pemilihan parti berdasarkan jumlah undi tidak rasmi yang menunjukkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengatasi beliau dalam perebutan jawatan itu.
Katanya, beliau membuat keputusan lebih awal untuk tidak mendesak melalui Biro Politik membuat pemilihan semula dan mengalah lebih awal.
Sementara itu, Anwar turut berkata, beliau pada dasarnya berpendapat sistem pemilihan PKR baik namun memerlukan penambahbaikan.
“Kita yakin kepada kemampuan JPP, Pengerusi, (Datuk) Rashid (Din) dan jenteranya. Tapi kita akui ada kelemahan, petugas salah guna kuasa. Semua ini boleh dibaiki,” katanya.
Dalam soal calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Anwar berpendapat Dr S Streram wajar diberikan peluang bertanding di kerusi itu memandangkan DUN berkenaan mempunyai pengundi masyarakat India kedua terbesar di negara ini.
“Rantau bukan kerusi mudah untuk menang. Sebelum ini kita calonkan tokoh India, Dr Streram, sekarang ada cadangan nama lain. Beliau dinafikan haknya (bertanding pada Pilihan Raya Umum lalu) dan mencabar di mahkamah.
“Saya sanggup mendengar cadangan letak seorang tokoh Melayu untuk memastikan kemenangan tetapi kerusi itu adalah antara pengundi India tertinggi di Malaysia. Saya harap perkara ini boleh diambil kira oleh ketua cabang, cawangan, negeri dan Biro Politik,” katanya. - Berita Harian
Tutup kes Julau demi kepentingan PKR - Anwar
Reviewed by Admin
on
November 18, 2018
Rating:
Reviewed by Admin
on
November 18, 2018
Rating:

No comments: