KUCHING: Sarawak terus mencatatkan peningkatan dari segi pendapatan yang membuktikan ekonomi kukuh selain tadbir urus kerajaan baik sedia ada.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pendapatan negeri meningkat kepada RM6.86 bilion pada 2017 berbanding RM5.91 bilion pada tahun sebelumnya.
“Ia menunjukkan peningkatan pendapatan negeri hampir satu bilion. Eksport juga meningkat daripada RM77 bilion pada 2016 kepada RM96 bilion pada 2017.
“Perkembangan ini jelas bukti kukuh dalam ekonomi dan tabdir urus kita dan berbanyak terima kasih kepada pemimpin pendahulu juga, bagaimanapun masih banyak yang perlu kita laksanakan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Sarawak dan ASEAN anjuran KASI Institute yang dihadiri Naib Pengerusi Eksekutif KASI Tan Sri Dr Michael Yeoh di sini, semalam.
Abang Johari berkata, dari segi kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Sarawak mencatatkan 4.7 peratus pada tahun lepas iaitu lebih dua kali ganda kadar pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Ia menjadikan Sarawak ekonomi ketiga terbesar di belakang Kuala Lumpur dan Selangor, yang menyumbang 9.7 peratus kepada KDNK negara.
“Sarawak mencatatkan KDNK sebanyak RM49,327 per kapita iaitu peningkatan daripada RM44,000 per kapita pada 2016.
“Dengan perkembangan ini, Sarawak berada pada landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK sebanyak 4.7 peratus pada 2020 mengikut penyelidikan MIDF,” katanya.
Abang Johari pada masa sama memberitahu, Belanjawan Negeri 2019 yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) kali ini antara belanjawan terbesar Sarawak.
“Ingin saya maklumkan kepada anda hari ini (semalam) bahawa Belanjawan Negeri yang akan saya bentangkan di Dewan Undangan Negeri pada 5 November akan menjadi bajet terbesar negeri yang pernah berlaku untuk Sarawak.
“Ini akan menjadi belanjawan rekod yang akan menjadi bukti komitmen kami untuk memenuhi aspirasi rakyat kita agar mempunyai lebih banyak jalan dan jambatan. Ia juga untuk meningkatkan perhubungan selain meningkatkan liputan bekalan air dan elektrik yang terawat,” katanya. - UTUSAN BORNEO
Pendapatan meningkat bukti ekonomi Sarawak kukuh
Reviewed by Admin
on
November 02, 2018
Rating:

No comments: