Jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) mengumumkan tiada pemilihan semula di Julau, susulan penggantungan keputusan pengundiannya ekoran dakwaan serangan siber, 10 November lalu.
Pengerusi JPP Rashid Din berkata ia memandangkan analisis mendapati tiada data atau undi yang hilang.
"Pemilihan cabang Julau tidak akan diadakan semula.
"Semua data selamat dan telah dimuat naik ke pelayan sistem...Perincian undi yang direkodkan dan analisis teknikal menunjukkan tiada undi tercicir dan keputusan pengundian boleh diguna pakai," katanya dalam kenyataan.
Katanya, keputusan pemilihan di cabang itu akan dimuat naik ke laman rasmi dalam masa terdekat.
Bagaimanapun beliau mengesahkan aplikasi e-undi dalam enam tablet yang digunakan telah "disapu bersih" oleh perisian anti-kecurian Prey.
Sabtu lalu, JPP menggantung keputusan pemilihan di cabang itu susulan dakwaan Prey telah digunakan untuk memadam aplikasi e-undi dalam tablet, mencuri data, mengubah kata laluan dan mengawal tablet menggunakan komputer dari jarak jauh.
Dakwaan itu dibuat calon timbalan presiden Rafizi Ramli yang antaranya berkata melihat ada orang yang "mengusik" tablet ketika pengundian.
Syarikat pembangun Prey telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia bukanlah perisian hasad (malware) tetapi perisian anti-kecurian, dan fungsi pemadaman datanya tidak membenarkan pentadbir memadam data secara terpilih.
Berhubung soal undi ragu pula, Rashid berkata proses pengesahan akan dibuat untuk jawatan peringkat cabang yang mempunyai keputusan seri dan tipis saja.
Katanya, JPP akan menjemput semua calon yang terlibat untuk memerhatikan proses pengesahan itu.
Dalam pemilihan ini, anggota yang tiada nama dalam senarai keanggotaan dikehendaki mengisi borang 11 sebelum mengundi dan akan melalui proses pengesahan sebelum dimasukkan dalam undi keseluruhan. - Malaysiakini
Tiada pemilihan semula di Julau, kata JPP
Reviewed by Admin
on
November 13, 2018
Rating:
Reviewed by Admin
on
November 13, 2018
Rating:

No comments: