SIBU: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberi geran bernilai RM5,000 kepada setiap taska dan tadika di negeri ini bermula Januari 2019, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menurut Fatimah, perkara itu diluluskan kabinet baru-baru ini semasa pembentangan pada Mesyuarat Majlis Kabinet Negeri Sarawak dan dipersetujui Kerajaan Sarawak.
“Peruntukan seumpama ini tidak pernah kita lakukan sebelum ini dan tahun 2019 adalah permulaanya,” katanya semasa berucap melancarkan program ‘Reading Seeds’ di Bilik Seminar, Dewan Suarah Sibu di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Arpah Adenan dan Pengarah Hospital Sibu Dr Ngian Hie Ung.
Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata geran itu akan diberi kepada setiap taska dan tadika yang berdaftar sama ada di bawah kerajaan atau swasta.
Beliau berkata, antara lain tujuannya adalah untuk membantu taska dan tadika menyediakan makanan yang sihat dan seimbang kepada kanak-kanak pada awal usia.
“Kita mula beri dan dedahkan anak-anak kita dengan makanan yang seimbang, bernutrisi supaya anak-anak kita mempunyai tenaga untuk mengikuti aktiviti yang akan dijalankan sepanjang hari, di taska atau tadika.
“Ini juga untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan berkualiti di peringkat awal,” katanya.
Di samping itu, bagi taska dan tadika yang tidak memerlukan geran itu untuk tujuan menyediakan makanan sihat dan seimbang, mereka juga boleh memohon geran tersebut untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, ujarya.
Jelas Fatimah, segala bentuk keperluan pengajaran dan pembelajaran akan dirangkum dalam borang permohonan.
“Asalkan di bawah rangkuman kita, kita akan nyatakan (di dalam borang berkaitan) pengajaran dan pembelajaran.
“Apa-apa sahaja yang mereka perlukan untuk geran itu, kita akan sediakan untuk mereka,” katanya.
Ketika ditemui pemberita, beliau turut ditanya bagaimana pihak kementerian akan memantau supaya geran itu dimanfaat sebaiknya oleh pihak taska dan tadika.
“Kita akan minta laporan, peringkat pertama mereka perlu hantar kepada kita bukti bahawa mereka ini berdaftar, kerana kita perlu membuat semakan dengan rekod pendaftaran kita.
“Kemudian, selepas itu kita lihat dalam borang itu apakah tujuan seperti yang kita senaraikan...selepas itu, baharulah pemantauan,” jawab beliau. - UTUSAN BORNEO
Geran negeri RM5,000 setiap taska, tadika mulai Januari 2019
Reviewed by Admin
on
December 03, 2018
Rating:

No comments: