![]() |
Foto The Star |
KUCHING, 29 Nov (Bernama) – Kementerian Industri Utama sedang bekerjasama dengan Penubuhan Persatuan Penanaman Kelapa Sawit Dayak Sarawak (Doppa) bagi menjangkau para pekebun kecil Sarawak untuk mendapatkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).
Menterinya, Teresa Kok, berkata pada Oktober 2018, sejumlah 359,810.83 hektar atau 24.4 peratus daripada jumlah keluasan tanaman kelapa sawit di Sarawak telah menerima pensijilan MSPO, yang merupakan satu inisiatif oleh kerajaan sebelum dijadikan mandatori menjelang Januari 2020.
Katanya, di seluruh negara, sejumlah 22 peratus atau 5.8 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit telah menerima pensijilan tersebut.
"Doppa mempunyai ramai profesional yang sudah bersara tetapi memiliki pengalaman kerja dalam perladangan kelapa sawit dan kita perlu bantuan mereka untuk pergi ke kawasan pedalaman bagi menyampaikan kepentingan pensijilan MSPO kepada pekebun-pekebun kecil," kata beliau kepada pemberita selepas pertemuan dengan wakil-wakil Doppa yang diketuai oleh Presidennya, Dr. Richard Mani di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kementeriannya, melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) akan bekerja rapat dengan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah bagi meningkatkan penerimaan pensijilan MSPO di kalangan petani tempatan.
Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM30 juta untuk melaksanakan pensijilan MSPO pada tahun depan.
"Dengan lebih banyak penerimaan pensijilan MSPO (dalam industri), tidak ada sebab lagi untuk minyak kelapa sawit Malaysia diboikot," katanya, sambil menambah bahawa India sekarang ini menjadi pengimport utama minyak sawit Malaysia.
Pada 2017, India mengimport 1.95 juta tan minyak sawit dari Malaysia, diikuti dengan Kesatuan Eropah (1.77 juta tan) dan China (1.61 juta tan).
Beliau yakin melalui penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan Bebas dengan India pada 2019, eksport minyak sawit Malaysia ke India mungkin akan dikenakan rejim cukai yang lebih rendah. – BERNAMA
Kementerian Industri Utama jangkau penanam kecil sawit Sarawak
Reviewed by Admin
on
November 29, 2018
Rating:

No comments: