GEORGE TOWN: Kerajaan persekutuan mungkin meminta kerajaan negeri menanggung kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan kampung mengunakan dana sendiri tahun ini, memandangkan belanjawan nasional yang terhad.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian akan berbincang dengan kerajaan negeri tentang cadangan itu.
“Saya pasti ada ruang di mana kita boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri, memandangkan ekonomi yang mencabar sekarang.
“Mendapatkan dana untuk menyelenggara jalan persekutuan menjadi masalah dan kita harap dapat selesaikan melalui cara ini,” katanya pada sidang media di pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) wilayah utara hari ini.
Jalan persekutuan dan kampung biasanya diselenggara melalui dana Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Dana untuk penyelenggaraan jalan negeri daripada peruntukan geran jalan negeri bawah Artikel 109 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.
Wang tersebut bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris). Ia diletakkan bawah badan amanah yang dikendalikan kerajaan negeri.
Mereka yang memerlukan wang itu hendaklah memohon dan akan diberi geran berdasarkan formula yang ditentukan untuk mengukur panjang, lebar dan gred jalan yang akan diselenggarakan itu.
Kini terdapat kira-kira 50,000 km jalan persekutuan di negara ini di bawah pemantauan Kementerian Kerja Raya, kecuali Sabah dan Sarawak.
Ditanya sama ada kerajaan persekutuan akan memberi lebih banyak peruntukan untuk penyelenggaraan jalan di Pulau Pinang, Baru berkata, ia agak susah sekarang kerana perbelanjaan kerajaan terhad.
Katanya, cara terbaik ialah dana Marris dibuka untuk semua jenis jalan, kerana ia akan memberi manfaat kepada penyelenggaraan jalan di kawasan luar bandar, terutama jalan-jalan “Jiwa Murni” (jalan kampung) di Sarawak yang dilaporkan dalam keadaan daif.
Katanya, kebanyakan jalan luar bandar di Sarawak dibina oleh kerajaan persekutuan, tetapi tidak diberikan dana daripada Marris untuk diselenggarakan.
Secara logik, katanya, penyelenggaraan semua jalan patutnya layak dipohon daripada dana Marris.
“Saya gembira mendengar terdapat pembangunan di Sarawak sekarang dan negeri tersebut telah mengubah peraturan untuk memasukkan Jalan ‘Jiwa Murni’ atau jalan-jalan kampung di bawah kelayakan dana Marris. - FMT
Negeri mungkin diminta guna wang sendiri selenggara jalan persekutuan
Reviewed by Admin
on
January 04, 2019
Rating:

No comments: