Seo Services

Sarawak tangguh larangan merokok di kedai makan


KUCHING: Kerajaan Sarawak menangguhkan larangan merokok di semua premis makan yang penguatkuasaannya bermula hari ini di seluruh negara, sementara menunggu keputusan Kabinet negeri, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, sungguhpun kerajaan negeri sependapat dengan kerajaan persekutuan dalam undang-undang anti-merokok, ia mempunyai ordinan kerajaan tempatan sendiri berhubung aktiviti merokok.

Hakikatnya pada 2 tahun lepas, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) melaksanakan kempen anti-merokok di kopitiam menerusi undang-undang kecil kerajaan tempatan, malangnya tidak semua majlis tempatan di Sarawak melakukan perkara sama.

“Elakkan daripada dikelirukan pihak tertentu kami menghalang undang-undang persekutuan daripada dilaksanakan di negeri ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau difahamkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) di bawah Kementerian Kesihatan akan memanggil pemegang kepentingan, terutamanya pengusaha kopitam untuk membincangkan Undang-undang Anti-merokok Persekutuan yang baru diwartakan (24 Disember 2018) dan pelaksanaannya.

Katanya, satu pertemuan diadakan membabitkan JKNS, kementeriannya dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak pada 28 Disember lalu tentang perkara yang perlu dilakukan Sarawak berhubung pelaksanaan dan isu berkaitan penguatkuasaan larangan itu di pihak majlis tempatan.

Di Kota Kinabalu, Majlis Belia Sabah (MBS) mahu larangan merokok di restoran dan premis makan yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan bermula tengah malam tadi, dilaksanakan di negeri itu.

Presidennya, Ahmad Farid Sainuri berkata larangan itu bukan hanya menyediakan persekitaran sihat kepada anak kecil, warga emas dan pesakit yang menghidap masalah pernafasan, tetapi juga mampu menjadikan Sabah destinasi pelancongan setanding negara maju.

“Langkah itu mampu menjimatkan perbelanjaan subsidi hospital kerajaan, apabila jumlah pesakit berkurangan, selain menjana pendapatan dengan kehadiran pelancong yang menyukai persekitaran bebas asap rokok di kedai makan negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Farid berkata, MBS yang mewakili lebih 190,000 belia di Sabah berpendapat, larangan itu tidak menafikan hak perokok kerana terdapat pekeliling yang menetapkan jarak kawasan boleh merokok, iaitu 3m dari premis larangan.

Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata, Sabah akan mengkaji larangan merokok di negeri ini.

Jaujan berkata, Sabah tidak menguatkuasakan larangan merokok seperti diumumkan kerajaan persekutuan sehingga ia disahkan dalam mesyuarat Kabinet negeri.

Oktober lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam, pusat penjaja, tempat makan di ruang terbuka di seluruh negara, berkuat kuasa hari ini.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara 2 tahun, manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan denda maksimum RM2,500. - Bernama

Sarawak tangguh larangan merokok di kedai makan Sarawak tangguh larangan merokok di kedai makan Reviewed by Admin on January 01, 2019 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.