PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang khas bagi mengelakkan diskriminasi kaum dan jantina berterusan di negara ini, baik dari segi peluang pekerjaan mahupun perkara lain.
“Di Amerika Syarikat ada undang-undang yang mencegah insiden seumpama ini berlaku, iaitu akta ‘equal employment opportunity act, manakala di Malaysia masih tidak ada lagi akta seperti itu,” katanya kepada FMT hari ini.
Cadangan itu disuarakan Ramasamy yang kecewa dengan tindakan segelintir pemilik rumah di Pulau Pinang mengamalkan diskriminasi terhadap Divyang Hong, 25, apabila mengetahui beliau bukan Cina tulen.
“Ini bukan perkara yang sering kita dengar di Pulau Pinang, tetapi ia sebenarnya belaku di seluruh Malaysia, bahkan turut berlaku di seluruh dunia.
“Tetapi, dalam konteks Malaysia, ia secara tidak langsung bertentangan dasar keharmonian dan perpaduan negara.
“Dalam isu pekerjaan pula, ketika ini masih ada amalan syarikat memilih pekerja mengikut kaum. Sepatutnya beri keutamaan kepada mereka berkelayakan dan mempunyai tahap pendidikan ditetapkan.”
Semalam, FMT melaporkan masalah dihadapi Hong ketika mencari bilik sewa di Bukit Mertajam, Pulau Pinang disebabkan beliau berbangsa campuran India dan Cina.
Hong yang fasih berbahasa Mandarin dan Tamil menghubungi kira-kira 10 pemilik rumah di Bukit Mertajam yang sedia menyewakan bilik kepada “lelaki Cina”, tetapi mereka bertindak menolaknya apabila mengetahui beliau bukan “lelaki Cina tulen”.
Ramasamy memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadap pemilik rumah terbabit bagi menghapuskan diskriminasi kaum di Pulau Pinang.
“Ini kita bincangkan dalam mesyuarat exco, tetapi saya beri jaminan kerajaan Pulau Pinang akan mengambil tindakan menurut undang-undang. Perbuatan ini harus dihentikan, janganlah macam ini.
“Kalau tuan rumah hendak sewakan rumah atau biliknya, lihatlah kepada kemampuan pemiliknya untuk bayar sewa, bukannya keturunan, agama dan sebagainya. Ini perkara yang perlu dihentikan dan jangan tunjukkan sikap yang saya rasa dangkal.”
Ramasamy turut berkongsi pengalamannya menyewa rumah daripada pemilik kaum lain ketika bertugas sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau bernasib baik kerana diberikan layanan baik oleh tuan rumah.
“Saya pernah menyewa rumah di Kajang semasa jadi pensyarah di UPM, saya sewa dari pemilik kaum lain. Di Pulau Pinang juga, semasa saya masuk politik dan menjadi exco, saya juga sewa rumah dari pemilik bukan kaum India dan ini bukan masalah.” - FMT
Ramasamy saran Putrajaya gubal akta hapus diskriminasi kaum, jantina
Reviewed by Admin
on
January 01, 2019
Rating:

No comments: