MELAKA: Rakyat di negara ini disaran menggunakan minyak sawit dalam pelbagai bentuk dalam kehidupan seharian sebagai sokongan membantu kerajaan meningkatkan harga komoditi itu, kata Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau berkata, kementerian itu akan terus mempergiatkan promosi penggunaan minyak sawit dalam kalangan rakyat negara ini, selain mengembangkan pasaran sedia ada serta meneroka pasaran baru di dalam dan luar negara.
“Kita berdepan cabaran cukup besar dalam usaha meningkatkan harga pelbagai komoditi negara, termasuk sawit kerana industri komoditi antara penyumbang terbesar kepada pendapataan negara, dan kedudukan harga komoditi terlibat bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi pekebun kecil, malah negara.
“Justeru, kita mengharapkan sokongan masyarakat pelbagai latar belakang pendapatan untuk terus menggunakan minyak sawit agar industri komoditi ini dapat terus dibangunkan supaya permintaan, tawaran dan harganya dapat ditingkatkan,” katanya selepas Program Sambutan Tahun Baru 2019 di Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal Melaka, semalam.
Shamsul Iskandar berkata, kerajaan menerusi kementerian berkenaan akan terus menjalin ikatan dengan pemegang berkepentingan dalam industri sawit di pelbagai peringkat, termasuk pekebun kecil untuk bersama melaksanakan langkah berkesan dalam meningkatkan harga komoditi itu.
Beliau berkata, antara langkahnya ialah menerusi pelaksanaan program Biodiesel B10 yang bertujuan meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit dan membantu mengurangkan lebihan stok dalam pasaran global bermula 1 Disember lalu.
Katanya, syarikat berkaitan kerajaan juga digesa memberi tumpuan mempromosikan komoditi itu menerusi penggunaan minyak sawit dalam setiap produk dihasilkan berbanding minyak lain kerana ia mengandungi antioksida tinggi, khususnya dalam mencegah perkembangan sel kanser dan pelbagai manfaat lain, selain mudah diperolehi di pasaran.
Beliau berkata, satu kajian terperinci sedang dilakukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia untuk mengenal pasti peratusan penggunaan komoditi itu dalam kalangan rakyat negara ini dan segmen atau sektor yang belum menggunakan bahan mentah itu.
“Kajian ini akan membantu kita mengatur strategi lebih teratur mengikut keperluan semasa dalam usaha mempromosikan komoditi ini secara lebih meluas pada masa akan datang,” katanya. - Bernama
Timbalan menteri gesa rakyat guna lebih minyak sawit demi bantu naikkan harga
Reviewed by Admin
on
January 02, 2019
Rating:

No comments: