KUALA LUMPUR - Sebanyak 26 peratus daripada 70 kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) yang diselia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengalami kemerosotan nilai jualan manakala 14 peratus lagi gulung tikar.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, kedai-kedai yang mengalami kemerosotan nilai jualan antaranya berpunca dari persaingan dengan pasar raya berdekatan.
Kedai yang menutup perniagaan mereka pula adalah kerana menghadapi masalah kekurangan modal dan kesukaran peserta mendapat bekalan barang jualan sebab tidak memaksimakan pulangan ke atas jualan stok sebagai pusingan untuk pembelian stok seterusnya.
Terdapat peserta yang bertukar milik kedai selain menutupnya disebabkan peniaga kekurangan modal dan klausa dalam perjanjian pinjaman tidak terdapat larangan kepada peserta Tukar untuk menjual (kedai tersebut) dalam tempoh perjanjian berkuat kuasa, menurut laporan itu.
Laporan itu menyebut pihak KPDNKK bersetuju dengan syor Audit Negara untuk meletakkan syarat bahawa pekedai tidak boleh menukar milik atau menjual kedai mereka kepada pihak lain tanpa persetujuan kementerian itu terlebih dahulu.
Bagaimanapun, sebanyak 56 peratus daripada keseluruhan kedai yang menyertai program tersebut berjaya meningkatkan nilai jualan berbanding sebelum menyertai program Tukar, menurut laporan itu.
Sementara itu, sebanyak 75 peratus daripada 60 peserta program Tukar tidak mendapat latihan yang sewajarnya disebabkan masalah ketiadaan pembantu untuk menguruskan perniagaan ketika menghadiri latihan, lokasi latihan yang jauh dan masalah pengangkutan serta masalah kesihatan. - Bernama.
Reviewed by Admin
on
April 08, 2014
Rating:
No comments: