KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2014: Selepas kejayaan program realiti pencarian pendakwah generasi baru Pencetus Ummah (PU) musim pertama yang diperkenalkan pada tahun lalu, Astro kini tampil memperkenalkan kesinambungan program itu menerusi Dunia Pencetus Ummah (Dunia PU).
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Namanzee Harris program tersebut adalah sebagai langkah menaikkan semula nama-nama pendakwah PU musim lalu yang pernah menjadi fenomena buat penonton.
“Kami mahu peserta-peserta PU musim lalu terus relevan kepada penonton dan lebih dikenali. Konsep Dunia PU sama seperti PU cuma tiada juri di hadapan dan dakwah yang disampaikan lebih santai.
“Kali ini menerusi Dunia PU, kesemua peserta PU musim lalu akan dibawa menjelajah ke tujuh buah negeri bagi menyampaikan dakwah masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Dunia PU di Hotel JW Marriot, petang Rabu.
Antara negeri yang akan dijelajah termasuklah Negeri sembilan, Melaka, Terengganu, Pahang, Kelantan, Johor dan Kedah.
Selain itu kata Namanzee, program ini juga sebagai sumbangan semula kepada masyarakat yang menyokong sepanjang PU musim pertama diadakan.
"Tidak sekadar membawa peserta-peserta PU ini berdakwah tetapi dalam masa yang sama kami akan turut menganjurkan sesi uji bakat untuk program PU musim kedua sepanjang rakaman program Dunia PU dijalankan," tambahnya.
Dunia PU bakal menampilkan Fahrin Ahmad dan Dr Ridhuan Tee Abdullah sebagai pengacara.
Rakaman program Dunia PU akan bermula 19 April ini dan akan disiarkan menerusi saluran Astro Oasis dan Mustika HD pada setiap Khamis, pukul 9 malam, bermula 1 Mei depan.
Pada musim pertama lalu, juara PU dimenangi peserta dari Selangor iaitu Muhammad Hafiz Mohd Haneefa.-Murai
No comments: