SELEPAS awan gelap melingkari rumah tangganya bersama Anang sekitar tahun 2009, Krisdayanti sudah jarang mengadakan majlis besar di negara ini kecuali beberapa acara peribadi tanpa kehadiran media.
Tidak melarikan diri jauh sekali enggan bertemu peminat tetapi Krisdayanti atau lebih mesra disapa dengan panggilan KD ini lebih selesa menumpukan perhatian kepada rumah tangga kedua yang dibina bersama Raul Lemos.
Tambahan pula kehadian dua cahaya mata baru, pastinya keutamaan KD bukan lagi kepada bidang nyanyian sebaliknya rumah tangga sementelah dia sendiri tidak menyangka dikurniakan anak pada usia lewat 30-an.
Melalui perkahwinan terdahulu KD dikurniakan anak Titania Aurelie Nurhermansyah, 15 dan Azriek Akbar Hermansyah, 11 tahun.
Bersama Raul pasangan ini teruja dengan kehadiran Ariannha Amora Lemos, 2 dan Kellen Alexander Lemos, 1.
Baginya fasa untuk dia mendiamkan diri selepas kes perceraian dan perkahwinan keduanya sudah lama berakhir. Dalam tempoh tersebut dia sudah mengalami segala-galanya termasuk menjadi buruan pihak media di negaranya yang ingin mendapatkan cerita terbaru.
KD masih ingat bagaimana dia bersabar menghadapi segala dugaan ketika itu. Setiap hari lebih 100 media berkumpul di hadapan rumahnya mengharapkan kenyataan daripada dirinya.
"Mereka boleh duduk di depan rumah saya berminggu-minggu menunggu saya. Mereka mahu saya buka mulut dan mengulas tentang kontroversi yang sedang melanda (ketika itu) tanpa jemu.
"Kalau saya artis baru mungkin saya kaget atau gementar menghadapi situasi berkenaan. Sebaliknya saya sudah lebih 20 tahun berpengalaman untuk menghadapi situasi sukar seperti itu.
"Saya sedar ini ujian Allah buat saya. Allah tidak menguji kalau saya tak kuat. Suami beri keizinan, Allah juga beri rezeki dan sebab itu saya masih mampu bertahan sampai ke hari ini.
"Saya percaya penderitaan juga ada akhirnya," cerita KD mengingat kisah itu.
Untungnya KD berjaya menenangkan Raul yang begitu terkejut menghadapi situasi berkenaan.
Paling diingati apabila bisnes suaminya sedikit terjejas dengan berita-berita kurang enak yang tersebar ketika itu. Banyak kontrak perniagaan dibatalkan tanpa sebab dan menjejaskan periuk nasi mereka.
Perkara tersebut benar-benar memberikan tekanan emosi buat suaminya tetapi masing-masing bangkit daripada kekecewaan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Malah KD berterima kasih kepada suaminya kerana tidak pernah melatah atau menyalahkan dirinya dengan dugaan yang terjadi selama ini.
"Saya sendiri tidak sempat untuk sedih. Ketika orang memperkatakan tentang diri ini, saya pula sibuk menjaga anak dan keluarga. Mempunyai bayi kecil bukan perkara yang mudah pada dasarnya.
"Semua itu saya lakukan sendiri tambahan pula emak saya diserang strok sejak beberpa tahun 2007. Tugas menjaga anak dan emak saya lakukan serentak," jelasnya lagi.
Keluarga
Pada pertemuan baru-baru ini, KD sempat berkongsi cerita mengapa dia enggan menjanda untuk satu tempoh masa yang panjang. Bukan memandang jelik pada status tersebut tetapi KD lebih selesa bersuami.
"Saya selalu fikir kalau tak menikah hampir setiap masa ada sahaja godaan yang datang yang akhirnya akan menjerat diri.
"Sebab itu selepas bercerai sahaja saya tak menunggu lama. Saya lebih selesa mempunyai suami daripada terus menjadi perhatian orang kalau hidup sendirian," luah KD satu persatu.
Bagi KD dia melihat sisi Raul Lemos sebagai salah satu sosok lelaki yang banyak memberikan semangat kepadanya untuk bangkit menghadapi realiti hidup.
"Kami saling menyempurnakan dan menampung mana-mana yang kurang. Dia ada kelemahan dan saya sendiri ada kekurangan. Kami saling memeluk erat untuk menutup segala kekurangan selama ini," luahnya sambil menyifatkan dirinya sudah berjumpa dengan kebahagiaan menerusi perkahwinan kedua.
Rai setiausaha
KD juga tidak terkecuali daripada menerima undangan untuk mengadakan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 17 April ini yang turut diserikan oleh Awi Rafael sebagai penyanyi undangan.
Ini merupakan kunjungan secara 'rasmi' penyanyi ini setelah kembali aktif selepas melahirkan anak keempat tahun lalu.
Bagi KD kesempatan ini tidak harus dipersia-siakan memandangkan Malaysia sudah dianggap sebagai rumah kedua sejak bertandang ke sini kira-kira 14 tahun yang lalu.
Pada persembahan itu nanti KD bakal mendendangkan lebih 12 buah lagu termasuk sebuah lagu baru berjudul Bertubi-Tubi ciptaan Melly Goeslow yang menceritakan tentang jatuh bangun dirinya selama ini.
Tiket untuk menyaksikan Minggu Setiausaha @ PICC dijual pada harga serendah RM5,880 hingga RM8,880 untuk sebuah meja yang memuatkan 10 tetamu.
Reviewed by Admin
on
April 08, 2014
Rating:
No comments: