HAMPIR empat tahun mendirikan rumahtangga, pasangan selebriti Noh Salleh, 29, dan Mizz Nina, 34, masih utuh dalam ikatan halal yang dibina atas dasar cinta.
Seperti pasangan selebriti lain, Noh dan Nina seringkali mencuri perhatian masyarakat yang senang dengan tingkah pasangan serasi ini yang bertemu titik persamaan dalam bidang muzik.
Meski berbeza genre, vokalis kumpulan Hujan dan penyanyi bertaraf antarabangsa ini tidak menjadikan itu satu halangan untuk mereka membina karier bersama-sama.
Cuma perjalanan seni Mizz Nina agak perlahan sedikit kebelakangan ini terutama selepas dia membuat keputusan untuk berhijab bagi memenuhi hasrat dan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan muslimah sejati.
Ternyata keputusan yang dibuat hujung tahun lepas itu semakin membuahkan rasa cinta dan sayang Noh kepada Nina.
Ya, lelaki ini, meski berpewatakkan selamba, gila-gila dan kadangkala seperti tidak serius sebenarnya merupakan seorang lelaki yang sarat jiwa romantis.
Merasakan tidak cukup cuma ucapan dan kata-kata Noh nekad mahu mengabdikan rasa cinta dan kasihnya terhadap Nina menerusi lagu.
Buktinya dua lagu - Angin Kencang dan Bunga Di Telinga dihasilkan sendiri oleh Noh khas untuk Nina, suri hatinya.
Meski ada riak malu-malu di wajah tatkala diminta untuk berkongsi mengenai gubahan lagu itu yang ditujukan buat Nina kata Noh, semua itu dilakukan demi menghargai pengorbanan wanita itu terhadap dirinya.
"Bukanlah bermakna saya buat lagu untuk Nina sebab saya tak pernah ucap kata sayang dan cinta pada dia. Setiap hari saya ungkap. Dia isteri saya, mestilah saya cakap selalu.
"Lagu-lagu itu terhasil kerana dia merupakan inspirasi saya. Contohnya lagu Angin Kencang, saya hasilkan semasa Nina terpaksa berjauhan dengan saya kerana menjayakan jelajah Around The World di Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa bulan kami berkahwin.
"Semasa itu saya memang rindu sangat dengan isteri saya," kata Noh tanpa berselindung.
Begitu juga dengan lagu Bunga Di Telinga yang dimuatkan dalam album solonya. Kata Noh, lagu tersebut diilhamkan daripada sebuah potret Nina yang mengenakan bunga di telinganya.
Reviewed by Admin
on
April 08, 2014
Rating:
No comments: