Seo Services

Empangan Bengoh tunggu penduduk pindah

EMPANGAN Bengoh dekat Kuching siap dibina lebih tiga tahun lepas namun sehingga kini ia masih belum pernah menakung air.
  
Puncanya bukan kelemahan empangan itu tetapi gara-gara segelintir penduduk yang masih mahu menghuni kawasan yang bakal ditenggelami air itu.
  
Walaupun ditawarkan dengan kehidupan selesa di bawah Skim Penempatan Semula Bengoh (SPSB), yang menyediakan pelbagai kemudahan, namun kira-kira 50 keluarga masih lagi bermukim di kawasan seluas 1,600 hektar yang kini adalah Empangan Bengoh.
  
Mereka enggan berpindah dari kawasan itu kerana berpendapat akan menjejaskan pendapatan untuk beberapa tahun.
 
Sukar peroleh pendapatan

Pada asalnya, 204 keluarga dari empat buah kampung mendiami kawasan berkenaan yang dibina dengan empangan bernilai RM310 juta.
  
Ada ramai dalam kalangan penduduk yang berpindah tetapi bukan ke SPSB yang terletak kira-kira 20 kilometer dari empangan itu sebaliknya membina rumah di kawasan tanah lebih tinggi tidak jauh dari tapak asal rumah mereka.
  
Seorang daripada penduduk yang telah berpindah ialah Sakek Rawon, 46, dari Kampung Rejoi.
  
Beliau berkata, hanya 23 keluarga dari kampung itu berpindah sementara 17 keluarga lagi mengambil keputusan untuk terus menetap di kampung asal mereka walaupun mengetahui ia bakal tenggelam.
  
Beliau menambah bahawa, kira-kira 20 keluarga dari Kampung Taba Sait dan lebih 10 keluarga dari Kampung Pain Bojong juga mengambil keputusan tidak berpindah.
  
Bagaimanapun kesemua penduduk Kampung Semban telah meninggalkan kampung mereka untuk menjadi penghuni di SPSB dan memulakan penghidupan baharu.
  
Namun ia satu keputusan yang amat berat.
  
"Bukan mudah untuk memulakan kehidupan baharu di tempat yang baharu. Di kampung asal kami ada tanah yang luas untuk bercucuk tanam dan ada kebun yang sudah mengeluarkan hasil," kata Sakek.
  
Skim itu termasuk peruntukan 1.2 hektar (kira-kira tiga ekar) bagi setiap keluarga.
  
"Buat masa ini tiada kegiatan ekonomi untuk kami dan bermakna kami akan tinggal di sini tanpa pendapatan untuk tempoh beberapa tahun sementara tunggu hasil bumi menjadi," kata Sakek.
  
Empat kampung yang terbabit dengan projek empangan itu ialah Kampung Taba Sait membabitkan 58 keluarga, Kampung Rejoi (40 keluarga), Kampung Pain Bojong (47 keluarga) dan Kampung Semban (59 keluarga).

Memperjuang pampasan
 
Bagi menampung perbelanjaan sekeluarga, Sakek menggunakan pengalamannya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuat jeriji besi untuk dipasang di rumah-rumah dalam kawasan SPSB.
  
Sakek yang mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang yang sama di Brunei Darussalam dan Singapura tidak lama dahulu memulakan perniagaannya itu sejak Januari lepas.
  
Bagi menggalakkan penduduk lain turut berpindah dengan cepat, Sakek mencadangkan kerajaan turut membayar pampasan ke atas kerugian harta benda lain selain tanah dan rumah yang bakal ditenggelami air.
  
"Itulah yang masih kami perjuangkan dan berharap kerajaan negeri akan menyegerakan pembayaran pampasan untuk harta benda berkenaan termasuk kebun," katanya.
 
Memahami masalah


Pengerusi Perhubungan Jawatankuasa Pasukan Bertindak Skim Penempatan Semula Bengoh, Itodio Peu mengakui masih ramai keluarga yang belum berpindah kerana beberapa sebab termasuk kos pemindahan dan cuaca yang tidak mengizinkan.
  
Katanya, mereka juga belum mahu berpindah kerana kerajaan negeri masih belum membayar sepenuhnya pampasan tanah dan harta benda mereka.
  
"Saya tidak dapat memaksakan mereka berpindah kerana saya amat memahami masalah mereka. Saya tidak mengharapkan mereka membiar dan melepaskan harta benda mereka secara percuma," katanya.
  
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bengoh Dr Jerip Susil yakin semua penduduk akan bersetuju berpindah ke SPSB dan berharap agensi-agensi kerajaan terbabit mempercepatkan proses pembayaran pampasan.
  
Pemindahan sebahagian penduduk tidak dapat diteruskan kerana peruntukan daripada kerajaan negeri untuk kos pemindahan masih belum disalurkan ke Pejabat Daerah.

Pemindahan guna helikopter
 
Dr Jerip berkata, pemindahan penduduk terutama warga tua akan membabitkan penggunaan helikopter TUDM.
  
"Selain kelewatan peruntukan, keadaan cuaca yang tidak menginzinkan turut menyebabkan proses pemindahan penduduk terbabit terpaksa ditangguhkan," kata beliau.
 
Mengenai pampasan yang didakwa belum dibayar, Dr Jerip menjelaskan proses tuntutan dan penilaian pampasan sedang dilakukan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
  
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk terbabit memberi kerjasama kepada pihak berkuasa agar proses tuntutan dan pembayaran dapat dipercepatkan.   

"Yang baiknya, kerajaan negeri bersetuju untuk membayar pampasan yang sepatutnya kepada pemilik tanah di keempat-empat kampung terlibat," tambah Dr Jerip.
  
Oktober tahun lepas ketika melakukan kunjungan ke skim penempatan baharu itu, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang ketika itu Ketua Menteri Sarawak berjanji kerajaan negeri akan melunaskan kesemua pampasan tertunggak dalam tempoh tiga tahun.
 
Skim penempatan semula rumah
 
Penempatan baru SPSB membabitkan kawasan seluas 130 hektar dan terletak di Penrissen, berhampiran Kampung Semadang, yang terletak kira-kira 43 kilometer dari bandar Kuching.
  
Projek SPSB bernilai RM129 juta dengan pembinaan 204 unit Rumah Mesra Rakyat itu turut mempunyai kemudahan asas yang lain seperti bekalan air dan elektrik, sebuah sekolah rendah, sebuah gereja, balai raya serta tanah perkuburan.
  
Pembinaan empangan Bengoh bermula 2007 dan siap pada 2010.   

Empangan berkenaan berkeupayaan menakung 144.1 juta meter padu air untukdibekalkan ke loji rawatan air Batu Kitang bagi meningkatkan kapasiti kepada  2,047 mega liter sehari (MLD) berbanding keupayaan semasa sebanyak 786 MLD.
  
Bekalan air dari loji itu yang sehingga kini kapasitinya belum bertambah dibekalkan untuk keperluan pengguna di Bahagian Kuching dan Kota Samarahan. - Bernama
Empangan Bengoh tunggu penduduk pindah Empangan Bengoh tunggu penduduk pindah Reviewed by uMieySurianie on May 29, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.