KUCHING, 2 Jun (Bernama) -- Sarawak layak menjadi model keharmonian sosial negara atas kejayaannya mewujudkan suasana aman damai dalam kalangan penduduk pelbagai kumpulan etnik dan subetnik yang paling banyak berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata keharmonian inilah yang seterusnya membawa kepada pencapaian ekonomi yang berterusan, sekali gus membawa kepada penyaluran lebih banyak projek pembangunan, terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.Katanya berdasarkan kepada persekitaran di Sarawak, ia jelas menjadi bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membawa kejayaan cemerlang, menerusi keharmonian dan kestabilan yang dikecapi bersama.
"Kejayaan ini tidak boleh dipandang ringan, tidak seharusnya kita ambil mudah, kerana kalau kita tolak apa yang kita warisi hari ini, belum tentu apa yang dikejar akan kita dapat, oleh itu marilah kita di Hari Gawai ini bersyukur dengan apa yang kita kecapi dan terus bina kejayaan lebih besar di masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa melawat Rh Jarek ak Klambu di Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir, kira-kira 20 kilometer dari sini, sebagai satu daripada atur cara beliau dalam lawatan dua hari ke Sarawak sempena sambutan Hari Gawai.
Turut serta dalam kunjungan ke Rh panjang etnik Iban itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu ak Numpang, serta beberapa menteri persekutuan, menteri negeri dan pemimpin-pemimpin tempatan.
Dalam ucapannya, Najib yang baru pulang dari lawatan kerja ke China berkata, beliau bertandang terus ke Miri untuk sambutan Gawai kerana: "Saya percaya dengan konsep berkongsi kegembiraan sebagai rakyat Malaysia, percaya kepada keterangkuman.
Negara ini milik kita semua, dan kita harus bekerja bersama di bawah semangat 1Malaysia," katanya.
Beliau amat menghargai sokongan serta komitmen yang ditunjukkan oleh semua komuniti di Sarawak kepada kepimpinan BN, dan turut berikrar akan terus membuat pertimbangan sebaiknya dalam meluluskan lebih banyak projek pembangunan di Sarawak.
Perdana menteri berkata dalam beberapa kunjungannya ke Sarawak sejak tahun 2009 lagi, beliau telah meluluskan banyak projek pembangunan di negeri ini, yang kosnya dianggar menjangkau lebih RM2 bilion.
Terdahulu Najib diberikan sambutan cukup meriah dalam kunjungannya ke rumah panjang itu, termasuk dipersembahkan dengan tarian tradisional pahlawan Iban, tarian ngajat, acara berpantun dan sebagainya.
Beliau dijangka menghadiri majlis sempena sambutan Hari Gawai di Dataran Kipas Miri di sini bersama pemimpin-pemimpin negeri malam ini sebelum berlepas pulang.-- BERNAMA
No comments: