Seo Services

Trio Wanita Sarawak Meraih Pingat Emas Acara Recurve Berpasukan

ARAU, 3 Jun (Bernama) -- Gandingan baharu trio recurve wanita Sarawak cemerlang dengan panahan pingat emas acara berpasukan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

Dalam acara yang menutup tirai hari ini, pasukan Sarawak yang dibarisi Cheryl Rudang Goh, Kho Yee Ting, dan Wan Farah Aina Wan Ahamadi memungut 194 mata untuk mengatasi trio Kelantan - Azuanis Abdullah, Nur Shafika Shamsuddin dan Nurul Amanina Rosmay - yang mengumpul 171 mata.

Cheryl berkata sasarannya untuk meraih pingat emas buat Sarawak akhirnya tercapai selepas beliau gagal mempertahankan pingat emas Sukma Pahang 2012 dalam acara individu pusingan Olimpik.

Atlet berusia 18 tahun itu sekadar menduduki kedudukan keempat selepas tewas kepada atlet Kelantan iaitu Azuanis pada perlawanan penentuan pingat gangsa baru-baru ini.

"Saya sangat berpuas hati sebab misi untuk meraih pingat emas tercapai namun sedikit kecewa apabila gagal meraih pingat dalam acara pusingan Olimpik...mungkin sebelum ini saya terlalu yakin.

"Kami berlatih bersama sejak tiga bulan lepas untuk persiapan Sukma kali ini. Pada final tadi, kami hanya mendengar arahan jurulatih supaya lebih fokus dan bertenang," katanya.

Pingat gangsa bagi acara tersebut dimenangi oleh trio Johor (Nuraqilah Khairul, Ummi Aisyah Mohd Fadzil, Caryn Sim Zia) selepas mengenepikan pasukan Kedah (Farwizah Ahmad Nazib, Nurshafika Shabani dan Noor Shahirah Ahmad) dengan 174-138 mata.

-- BERNAMA
Trio Wanita Sarawak Meraih Pingat Emas Acara Recurve Berpasukan Trio Wanita Sarawak Meraih Pingat Emas Acara Recurve Berpasukan Reviewed by Admin on June 03, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.