Seo Services

Jenayah komersial di Sarawak menurun sebanyak 57 peratus


KUCHING - Tahap kesedaran orang ramai yang semakin meningkat terhadap kes penipuan berjaya mengurangkan nilai kerugian jenayah komersial sebanyak RM10.1 juta atau 57 peratus di Sarawak, sepanjang enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Supritendan Mohd. Firdaus Abdullah berkata, jumlah dicatatkan itu adalah sebanyak RM7.3 juta berbanding RM17.4 juta.

"Hasil analisis yang kita buat mendapati, jumlah penurunan kerugian dicatatkan itu adalah disebabkan orang ramai semakin sedar terhadap kes penipuan yang berlaku di sekeliling mereka.

"Kesedaran itu lahir daripada pemahaman mereka ketika mengikuti aktiviti kesedaran yang dijalankan secara berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti program ceramah dan kempen," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini hari ini.

Sepanjang tempoh tersebut, Mohd. Firdaus berkata, jenis jenayah komersial yang mencatatkan penurunan paling ketara ialah penipuan iaitu sebanyak 152 kes atau penurunan 30.5 peratus berbanding 219 kes pada tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Op Cantas Khas yang dilancarkan bertujuan membanteras kegiatan ah long, penjualan cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) haram serta gores dan menang turut mencatatkan kejayaan sepanjang sebulan operasi bermula 20 Mei hingga 20 Jun lalu.

Katanya, hasil operasi itu, polis telah merampas sebanyak 5,074 keping VCD dan DVD cetak rompak bernilai RM36,000 dalam 53 serbuan di seluruh negeri ini.

"Kita juga menangkap 61 penjual bahan cetak rompak terbabit yang terdiri daripada 38 lelaki dan 23 wanita untuk tindakan di bawah Seksyen 6 Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Dalam operasi membanteras kegiatan ah long pula, Mohd. Firdaus berkata, pihaknya telah menurunkan sebanyak 1,051 iklan dan poster pinjaman wang haram dalam 135 serbuan di sekitar pekan dan bandar di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat pemeriksaan terhadap syarikat pinjaman wang berlesen bagi memastikan tiada pemilik premis menjalankan perniagaan pinjaman wang secara haram.

"Saya ingin nasihatkan orang ramai supaya hanya membuat pinjaman dengan bank, koperasi dan lain-lain institusi kewangan yang mematuhi undang-undang serta mengenakan kadar bunga yang rendah berbanding ah long," katanya sambil memberitahu tindakan berhutang dengan ah long boleh mengancam keselamatan diri dan keluarga peminjam.

Jenayah komersial di Sarawak menurun sebanyak 57 peratus Jenayah komersial di Sarawak menurun sebanyak 57 peratus Reviewed by Unknown on July 02, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.