Seo Services

Kaum Iban kahwin campur harus kekal budaya


SRI AMAN: Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang menasihati kaum Iban yang terlibat perkahwinan campur dengan kaum lain agar terus mengekalkan budaya dan adat resam kaum Iban supaya tidak pupus ditelan zaman.

Mong berkata perkahwinan campur antara kaum Iban dengan kaum lain boleh menyumbang kepada kepupusan budaya dan adat resam kaum mereka disebabkan kurang minat mempertahankan khazanah itu.

Tarian ajat misalnya adalah tergolong dalam budaya kaum Iban yang cukup popular dan tarian itu perlu dipertahankan semua kaum Iban walaupun mereka berkahwin dengan kaum lain pada suatu hari nanti.

“Pastikan budaya kaum Iban diteruskan ke generasi seterusnya meskipun sudah berkahwin dengan kaum lain, jika ia tidak dilakukan maka sudah pasti budaya berkenaan akan pupus beberapa generasi berikutnya,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Kelas Ajat 2014 anjuran Persatuan Budaya Iban Sri Aman (PBISA) di sini kelmarin.

Seramai 47 peserta menyertai Kelas Ajat yang dikendalikan Pengerusi PBISA Johnathan Issau itu.

Mong mahu persatuan budaya negeri ini memainkan peranan aktif bagi menyedarkan kaum Iban tentang betapa pentingnya budaya tersebut diturunkan kepada generasi baharu jika mereka berkahwin dengan kaum lain.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan menasihati penduduk kaum Iban di sini agar aktif melibatkan diri dalam bidang tenunan.

Menurutnya, orang Iban di Kapit amat aktif melibatkan diri dalam bidang ini dan lantaran itu orang Iban di Sri Aman juga perlu berkecimpung dalam bidang tenunan.

“Saya berharap penduduk Iban di sini dapat menjadikan tenunan sebagai satu bidang yang mampu menjana pendapatan keluarga pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir Pegawai JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, Pembantu Khas Ahli Parlimen Lubok Antu Kaunselor Zainie Aji dan Pembantu Khas Ahli Parlimen Sri Aman Edmund Pirang.- utusan borneo
Kaum Iban kahwin campur harus kekal budaya Kaum Iban kahwin campur harus kekal budaya Reviewed by Admin on July 31, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.