Seo Services

Kursi Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud Dirancang Diwujud Di Unimas

KUCHING, 11 Julai (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri bagi mendapat persetujuan untuk menubuhkan Kursi Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Unimas.

Ketuanya Datuk Fadillah Yusof berkata beliau sudah mengarahkan gerak kerja Pemuda PBB untuk mendapatkan tarikh perjumpaan dengan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud secepat mungkin.

Beliau berkata idea penubuhan kursi itu adalah hasil jalinan kerjasama antara Pemuda PBB dengan Unimas bagi mengkaji idea, asas pentadbiran dan sumbangan Abdul Taib yang menerajui negeri sebagai ketua menteri selama 33 tahun, sehingga membawa kejayaan yang amat cemerlang dalam aspek pembangunan di Sarawak.

Katanya Pemuda PBB sebelum ini mengemukakan cadangan untuk menubuhkan sebuah Institut Pemikiran Abdul Taib Mahmud di Unimas, namun dalam perjumpaan dengan universiti berkenaan hari ini, Unimas sebaliknya mencadangkan supaya institut sedia ada digunakan bagi tujuan itu, dan seterusnya sebuah kursi Tun Pehin Sri Taib diwujudkan.

"Ia sebagai salah satu kursi yang memberi fokus kepada kajian berhubung kait dengan idea-idea pembangunan Tun Pehin Sri (Taib) dan juga fokus kepada pembangunan di Kepulauan Borneo," kata Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya dalam satu persidangan media selepas perjumpaan itu di sebuah hotel di sini petang tadi.

Fadillah berkata langkah seterusnya adalah untuk mencari dana, dan menurutnya Pemuda PBB bersetuju untuk menggerakkan usaha mencari dana serta sumber, yang dianggarkan tidak kurang daripada RM2.5 juta bagi mewujudkan kursi itu.

Beliau berkata pemimpin semasa dan masa depan perlu mengkaji dan memahami sejarah perjuangan Tun Abdul Taib, bagaimana idea-ideanya berjaya mengubah Sarawak daripada sebuah negeri yang agak ketinggalan satu ketika dahulu, kepada sebuah negeri yang begitu maju dewasa ini.

Katanya Unimas dalam taklimat hari ini turut memberitahu bahawa kejayaan Tun Abdul Taib tidak seharusnya dilihat dari satu skop sahaja tapi perlu meliputi antara disiplin yang melampaui pelbagai fakulti.

Menurutnya kajian perlu dilihat dalam pelbagai segi gaya kepimpinannya termasuk dari segi kajian politik, budaya, sosioekonomi, pembangunan fizikal, infrastruktur, pembangunan sumber dan juga modal insan.

Sementara itu Naib Canselor Unimas Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menyuarakan rasa bangga dan besar hati kerana pihaknya dapat turut mengambil bahagian dalam usaha mengkaji pemikiran tokoh terbilang Sarawak.-- BERNAMA

Kursi Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud Dirancang Diwujud Di Unimas Kursi Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud Dirancang Diwujud Di Unimas Reviewed by Admin on July 12, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.