Nama Wati dan Awie cukup sinonim dengan beberapa filem cinta Melayu 20 tahun lalu. Kembali mencari keserasian pasangan bintang popular, Awie dan Erra sekali lagi dipertemukan dalam sebuah filem berjudul Warna Cinta Impian.
Berkisar mengenai sebuah perkahwinan yang perlu diselamatkan oleh dua watak ini, akan ada elemen Bollywood yang bakal memberi kelainan kepada filem tersebut.
Menolak menggunakan kontroversi yang menyelubungi dua artis tersebut sebagai formula untuk melariskan filemnya kelak, pengarahnya, N.S Krishna percaya skrip filem ini jauh lebih kuat dari kontroversi yang dimaksudkan. Saya tidak gunakan kontroversi sebagai formula melariskan filem saya.
Saya percaya dengan kemampuan filem ini kelak. Kalau ikutkan bukan Awie dan Erra sebenarnya watak utama dalam filem ini.
Ini memandangkan kisah cinta Shiqin Kamal dan Erwin Shah Dawson yang akan menjadi nadi kepada filem ini kelak," katanya.
Menurut Krishna lagi selain Malaysia, India dan Australia juga bakal menjadi lokasi penggambaran buat filem yang dijangka menelan belanja sebanyak RM1.5 juta.
Memandangkan kami akan menggunakan unsur Bollywood, maka akan ada babak menari yang akan turut melatari. Bagaimanapun, buat masa ini Awie dan Erra belum mempunyai lagu khas yang akan di siapkan bersama. Kami jangkakan filem ini akan ditayangkan tahun hadapan," katanya.
Usah kait cerita lama
Bagi Erra Fazira sendiri, kisah yang terjadi antara dia dan Awie tidak perlu lagi dikaitkan. Tidak merasa kerjasama ini akan menimbulkan sebarang spekulasi tidak molek, dia meminta semua pihak agar menghormati pendirian dia dan Awie sendiri.
Kami sebelum ini pernah bekerjasama, jadi tiada apa yang perlu saya risaukan. Cuma saya harap mereka di luar sana faham keadaan ini, kami bekerja.
Memandangkan ini kerjaya, rasanya tidak ada masalah untuk kami bersikap profesional," katanya.
Tidak menolak tertarik dengan kekuatan filem ini, sebelum ini Erra juga pernah menerima tawaran berlakon bersama Awie, bagaimanapun terpaksa menolak.
Pernah ada tawaran tetapi antara filem yang ditawarkan itu sama ada tidak sesuai dengan saya atau saya sibuk. Tetapi filem ini mempunyai garapan yang baik, jadi saya fikir mengapa tidak untuk bersama menjayakannya," katanya.
Menolak Awie akan mengalami masalah dengan keadaan rumah tangga yang dihadapi pelakon itu bersama isterinya Rozana Misbun, Erra percaya Awie sendiri sudah begitu dewasa untuk menghadapi keadaan ini sebaiknya. Malah sebagai kawan dia harap agar semuanya akan berlangsung dengan baik buat Awie sendiri.
Saya tahu bila ada orang beritahu saya tentang masalah itu. Saya fikir tidak layak untuk saya berikan sebarang nasihat untuk dia memandangkan dia lebih banyak pengalaman daripada saya sendiri. Saya harap apa juga masalah yang dihadapi mereka akan diselesaikan dengan cara yang baik," katanya.
Sementara itu filem ini merupakan produk pertama syarikat Touchtronics Entertaiment Sdn. Bhd. Selain Erra dan Awie, antara pelakon lain yang akan turut serta menjayakan filem ini adalah pelakon dari Singapura Erwin Shah Dawson, Shiqin Kamal, Nelydia Senros dan Azlee Khairi.-UTUSAN
Awie, Erra kembali bersatu semula.
Reviewed by Unknown
on
August 06, 2014
Rating:
No comments: