KUCHING: Lembaga Air Kuching (KWB) akan dapat meluaskan kawasan membekalkan air hingga ke Simunjan dengan penambahan 200 juta liter air sehari (MLD) di Loji Rawatan Air Batu Kitang pada Jun 2017.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah berkata, bekalan air tersebut hasil daripada proses naik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang 3 dari 200 juta liter sehari (MLD) ke 400 MLD bagi menampung keperluan lebih ramai pengguna.
Katanya, pada masa ini, Lembaga Air Kuching (KWB) membekalkan air di bandar ini termasuk pedalaman hingga Bahagian Samarahan dan sebahagian Asia Jaya kepada 785,000 orang dengan permintaan 450 MLD.
"Bekalan air di Kuching juga telah kembali normal selepas hujan turun beberapa hari ini namun KWB terus memantau dengan lebih dekat ekoran cuaca panas dan kering berpanjangan.
"Inisiatif yang diambil KWB dengan meninggikan penambat air sungai sebanyak 0.5 meter menjadi 2.5 meter pada April lalu meningkatkan simpanan air mentah kepada 3,000 mega liter (ML) telah membendung kekurangan bekalan air di Kuching," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menerima taklimat daripada KWB semasa Lawatan Ke Loji Rawatan Air Batu Kitang dan Empangan Sungai Sarawak Kiri Batu Kitang hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KWB juga pada masa ini sedang meneroka kemungkinan mempunyai simpanan 'on' and 'off' river bank bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah untuk mengatasi masalah kemarau berpanjangan.
Dalam pada itu, Awang Tengah meminta agar pengguna terus berjimat cermat menggunakan air dalam musim panas dan kering ini.
Beliau menerangkan populasi pengguna air di bawah KWB adalah seramai 785,000 orang, manakala jmlah saluran air ke rumah adalah sebanyak 147,000 saluran serta jumlah permintaan air sehari adalah sebanyak 450 MLD manakalan jumlah maksimum air terawat sehari adalah sebanyak 580 MLD. - sarawakiana
No comments: