Kaum Melanau di Sarawak adalah antara kaum yang gemar membuat penempatan di muara sungai dan tepi laut. Ini kerana pekerjaan kaum Melanau lebih menjurus kepada bidang nelayan sebagai sumber pencarian pendapatan hidup.
Dalam pada itu, Melanau juga terdiri daripada berbagai loghat Melanaunya. Loghat Melanau Mukah, Bintulu, Matu, Rejang dan sebagainya. Setiap tempat mempunyai alunan Melanau yang berbeza.
Kaum Melanau juga tidak terlepas daripada pantang larang. Ada yang pantang makan lemidin, ketam nipah, paku uban dan yang paling utama menjadi pantang orang Melanau ialah Ikan Patin.
Terdapat pelbagai versi cerita orang tua dahulu kenapa Melanau pantang makan ikan patin. Hanya satu cerita yang paling banyak dicerita ialah ikan patin menjadi penyelamat Melanau ketika di serang oleh musuh.
Menurut penceritaan bahawa pada masa dahulu, terdapat sekumpulan lanun yang datang dari arah laut telah menyerang perkampungan Melanau di muara sungai. Namun tidak juga dijelaskan lokasi muara sungai tersebut.
Oleh kerana sibuk dengan aktiviti seharian, mereka tidak menyedari bahawa lanun telah menyerang perkampungan mereka sehingga tidak bersedia untuk membuat pertahanan.
Dalam keadaam yang huru hara, mereka hanya mampu membawa keluarga menaiki perahu tanpa membawa apa-apa makanan. Keseluruhan penduduk kampung berkayuh mudik ke hulu untuk menyelamatkan diri.
Namun lanun terus mengejar penduduk tersebut sehingga jauh ke hulu. Apabila merasa lanun berada jauh ke belakang, penduduk mula mencari tempat persembunyian dan berkayuh ke sebatang anak sungai yang tidaklah terlalu besar dan boleh diranduk.
Sampai di satu tempat, penduduk mencari tempat persembunyian di celah-celah rumpai sungai dan meninggalkan perahu di muara anak sungai. Dengan mudah lanun menemui perahu penduduk dan mula mencari penduduk kampung tersebut.
Namun kejadian pelik berlaku apabila perahu lanun tidak dapat memasuki anak sungai tersebut. Terpaksa lanun turun ke dalam sungai di mana paras air sungai hanya setakat pinggang. Para lanun meranduk ke hulu anak sungai secara senyap.
Penduduk kampung hanya mengintai lanun tersebut melalui celah-celah rumpai sungai dengan perasaan gementar dan gelisah. Lanun yang mempunyai senjata bergerak secara perlahan dan semakin menghampiri tempat persembunyian penduduk.
Sesuatu yang tidak disangka telah berlaku apabila lanun semakin menghampiri penduduk, entah dari mana datang ikan patin yang begitu banyak menyengat kaki lanun tersebut. Oleh kerana tidak tahan dengan sengatan, lanun dengan pantas kembali ke perahu dan meninggalkan tempat tersebut.
Melihat lanun sudah pergi jauh penduduk keluar dari tempat persembunyian dan ikan patin tadi tidak pula menyengat malah berkumpul begitu banyak di permukaan air. Justeru penduduk mula berkata mengucap terima kasih kepada ikan patin dan bersumpah untuk tidak membenar keturunan mereka memakan ikan patin selama-lamanya.
Sejak dari itu ramai Melanau tidak memakan ikan patin dan terdapat juga insiden bebarapa tahun yang lepas di mana terdapat orang yang makan ikan patin menjadi tidak waras dan asyik mengalir darah di hidung. Itulah akibatnya jika melanggari pantang larang mengikut kepercayaan yang telah wujud sejak sekian lama.
Kenapa Melanau Pantang Makan Ikan Patin?
Reviewed by Unknown
on
December 07, 2016
Rating:
salah cerita tok...
ReplyDeletehi, kamek pun sik stuju ngan cerita tok..siap kmk polah research ngn kawan melanau kamek sidak madah x benar
ReplyDelete