Seo Services

Kerajaan Negeri Pertimbang Bantuan Kepada Keluarga Mangsa #MH17


KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan negeri akan mempertimbang untuk memberi bantuan kepada keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bentuk bantuan berkenaan.

"Kami akan mempertimbang dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai Pensijilan Pengurusan Hutan di Sarawak di sini, Rabu.

Jenazah dua daripada mangsa Penerbangan MH17 dijadual tiba di negara ini pada Jumaat dan akan dibawa pulang ke Kuching selepas istiadat penghormatan jenazah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

Adenan berkata jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Jamek, Petra Jaya di sini untuk solat jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan Islam Semariang di sini untuk dikebumikan.

Semalam, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman berkata kedua-dua jenazah yang diiringi empat anggota keluarga mereka, akan diterbangkan ke sini dengan pesawat Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dijangka tiba di Pangkalan Udara TUDM di sini kira-kira 3 petang.

Sebaik tiba, jenazah itu akan dibawa ke Masjid Jamek untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Semariang, katanya.

"Orang ramai boleh berkumpul di Masjid Jamek untuk menunaikan solat jenazah dan memberi penghormatan," kata Daud.

Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud, dengan diiringi Adenan dan anggota kabinet negeri juga dijangka berada di Masjid Jamek untuk solat jenazah dan memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa. 

Antara 43 warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu ialah Tambi Jiee, 49, dan isterinya Ariza Ghazalee, 46, serta empat anak mereka -- Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 19, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13. Mereka berasal dari Semariang.

Penerbangan MH17 sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di wilayah Donetsk, di timur Ukraine pada 17 Julai. Pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, ditembak jatuh tetapi sehingga sekarang tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.- BERNAMA
Kerajaan Negeri Pertimbang Bantuan Kepada Keluarga Mangsa #MH17 Kerajaan Negeri Pertimbang Bantuan Kepada Keluarga Mangsa #MH17 Reviewed by Unknown on August 21, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.