KUCHING - Jenazah dua daripada mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) Penerbangan MH17 yang dijadual tiba di tanah air pada Jumaat ini, akan dibawa pulang ke Kuching sejurus selepas selesai istiadat penghormatan penerimaan jenazah tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, kedua-dua jenazah itu yang diiringi empat anggota keluarga mereka akan diterbangkan ke sini dengan pesawat Charlie milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dijangka tiba di Pangkalan Udara TUDM di sini pada kira-kira pukul 3 petang.
Sebaik tiba, jenazah itu akan dibawa ke Masjid Jamek, Petrajaya di sini untuk solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini bagi disemadikan.
"Orang ramai boleh berkumpul di Masjid Jamek untuk menunaikan solat jenazah dan memberi penghormatan terakhir,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan majlis penerimaan jenazah mangsa MH17 di Pangkalan Udara TUDM di sini.
Terdahulu, beliau memeriksa persiapan dan raptai penerimaan jenazah berkenaan. - Bernama
No comments: