Seo Services

Polis beri jaminan akan banteras judi siber di Limbang


LIMBANG - Polis memberi jaminan akan meningkatkan operasi serbuan ke atas premis yang menjalankan aktiviti judi siber bagi memastikan kegiatan itu tidak berleluasa di daerah tersebut.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Bukhori Saffai berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihaknya telah membuat 18 pemeriksaan di premis yang disyaki menjalankan kegiatan haram itu berbanding 16 serbuan sepanjang tahun lalu.

"Sejak Januari hingga Julai lalu, sebanyak 171 unit komputer mengandungi perisian judi siber dirampas berbanding 16 serbuan dan 82 rampasan komputer sepanjang 2013," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang di sini semalam.

Mohd. Bukhori berkata, dalam serbuan dan operasi yang dijalankan secara berkala serta berterusan itu, pihaknya mendapati ada premis siber berlesen mengambil kesempatan menjalankan kegiatan haram tersebut tetapi kebanyakannya memang tidak berlesen.

Dalam pada itu, beliau menafikan terdapat dalang yang dikaitkan dengan gengsterisme terlibat melindungi kegiatan tersebut.

Bagaimanapun, ujarnya, polis sudah mengenal pasti tiga pemilik besar premis perjudian yang dipecahkan menjadi premis judi siber kecil-kecilan di pusat bandar ini.

Tambahnya, bahagian Limbang amat memerlukan seorang anggota polis yang pakar dalam perjudian untuk ditempatkan di IPD bagi memudahkan pihaknya mengenal pasti komputer yang mempunyai perisian judi siber.

"Selain itu, kita juga berharap jawatan Timbalan Pendakwa Raya akan ditambah untuk ditempatkan di zon utara negeri ini bagi memudahkan kes saman judi siber dilakukan," ujarnya.

Menurut Mohd. Bukhori, ketika ini, hanya ada seorang Timbalan Pendakwa Raya berpusat di Miri yang bertanggungjawab ke atas kawasan zon utara yang menjalankan tugas tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, terdapat peningkatan kes narkotik di bahagian ini dengan 116 kes dan 122 tangkapan dilaporkan sejak Januari hingga setakat ini.

Katanya, jumlah dicatatkan itu menunjukkan peningkatan berbanding 107 kes dan 116 tangkapan sepanjang tahun lalu.

"Dadah jenis syabu menunjukkan peningkatan mendadak berdasarkan nilai rampasan yang dicatatkan dalam tempoh tersebut iaitu 65.15 gram berbanding hanya 26.22 gram bagi tempoh sama tahun lalu.

"Hasil siasatan mendapati, kebanyakan bekalan dadah diperoleh dari negara jiran yang diedarkan secara kecil-kecilan. Kita bagaimanapun sudah mengenal pasti pengedar terlibat dan bersedia memberkas mereka pada bila-bila masa," katanya.


Polis beri jaminan akan banteras judi siber di Limbang Polis beri jaminan akan banteras judi siber di Limbang Reviewed by Unknown on August 21, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.