Seo Services

Sarawak Cadang Libatkan Penan Dalam Industri Buluh

KUCHING, 30 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bercadang melibatkan masyarakat Penan yang masih tinggal di kawasan pedalaman negeri ini dalam pembangunan industri penanaman dan kraftangan buluh, kata Menteri Pelancongan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kerajaan negeri telahpun mengenal pasti penempatan kaum Penan seperti di Long Banga dan Long Kevok di daerah Baram, utara Sarawak, sebagai kawasan yang sesuai untuk industri penanaman buluh ini.

Menurutnya kaum ini sesuai untuk menjalankan aktiviti penanaman dan penghasilan kraftangan daripada bahan hutan ini berdasarkan bakat istimewa semula jadi mereka.

"Negeri kita kaya dengan pelbagai spesies buluh dan pada masa sama permintaan pasaran dunia terhadap produk buluh ini semakin meningkat," katanya dalam sidang media sempena Program Promosi Kraf Malaysia di sini Sabtu.

Beliau berkata selain masyarakat Penan, kaum lain yang tinggal di kawasan luar bandar di negeri ini turut digalakkan menanam buluh secara sistematik dan seterusnya dijual untuk keperluan industri hiliran.

Abang Johari berkata produk daripada hasil buluh seterusnya akan dapat dimasukkan dalam program Promosi Kraf Malaysia yang kini sudah dianjurkan untuk tahun keempat.

Katanya pada tahun ini program promosi melibatkan 81 usahawan dari Sarawak, Melaka, Selangor, Sabah dan Perlis menetapkan sasaran jualan berjumlah RM750,000.

Menurutnya sasaran ini agak konservatif memandangkan tahun lepas, program anjuran Kraftangan Malaysia ini berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM1.18 juta.

Program 10 hari ini berlangsung sejak 29 Ogos di Tebingan Kuching dan akan berakhir pada 7 Sept ini.-- BERNAMA

Sarawak Cadang Libatkan Penan Dalam Industri Buluh Sarawak Cadang Libatkan Penan Dalam Industri Buluh Reviewed by Admin on August 30, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.