Seo Services

Sarawak perlukan banyak pasukan Polis Bantuan

Foto Polis Sarawak
KUCHING: Sarawak masih memerlukan lebih banyak pasukan Polis Bantuan yang akan ditempatkan di pelbagai bangunan institusi termasuk milik badan keagamaan selain perumahan baharu dan sekolah bagi menjaga aset dan masyarakat.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, penubuhan pasukan itu di kawasan-kawasan berkenaan amat penting untuk meningkatkan keyakinan masyarakat dengan kehadiran mereka.

“Misalnya pendekatan penubuhan pasukan Polis Bantuan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) ini, bukan sahaja untuk menjaga aset di bawah seliaan LAKMNS tetapi pada masa yang sama masyarakat.

“Sekiranya ada kejayaan daripada pendekatan ini kita mencadangkan pendekatan yang sama dipakai iaitu mewujudkan Polis Bantuan di bangunan Baitulmal, satu lagi badan agama di Sarawak yang mempunyai banyak aset,” katanya.

Katanya Baitulmal memiliki bangunan bukan sahaja di Kuching tetapi di Sibu dan Miri yang mempunyai hubung kait dengan masyarakat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi LAKMNS berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Polis Bantuan LAKMNS di sini, semalam.

Selain itu Abang Johari turut mencadangkan agar diwujudkan pasukan Polis Bantuan di kawasan perumahan baharu selain mempertingkatkan lagi kehadiran anggota itu bagi menjaga keamanan, termasuk daripada aspek pelancongan.

“Sebagai menteri bertanggungjawab kepada pelancongan, kita juga mahu melihat aspek keharmonian dapat diperkukuhkan kerana apa yang berlaku di Sabah menjejaskan sedikit Sarawak, memandangkan kita sama di Kepulauan Borneo,” tegasnya.

Mengenai penubuhan pasukan Polis Bantuan LAKMNS katanya, ia mencerminkan hubungan rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat umum.

Abang Johari berkata, misalnya di bangunan Baitulmakmur di bawah LAKMNS itu, terdapat banyak kementerian dalam bangunan tersebut, yang memerlukan aspek keselamatan.

“Pasukan ini adalah satu pasukan yang kita perlukan untuk melihat supaya masyarakat yang berkhidmat di Baitulmakmur ini akan mempunyai keyakinan daripada sudut keselamatan mereka, yang kita anggap satu komponen penting,” tegasnya.

Sementara itu ditanya mengenai kes bunuh yang membabitkan dua pelajar warganegara Britain dalam insiden awal pagi, kelmarin Abang Johari berkata:

“Saya tidak boleh komen dengan lanjut kerana ia masih dalam siasatan polis dan biarkan mereka siasat dahulu.

“Namun saya telah mengarahkan Setiausaha Tetap Kementerian (Pelancongan) supaya berhubung dengan pihak polis, kita akan meneliti perkara berkenaan selepas ini (siasatan) kerana perkara seperti ini sedikit memberi impak negatif kepada pelancongan.”-BP
Sarawak perlukan banyak pasukan Polis Bantuan Sarawak perlukan banyak pasukan Polis Bantuan Reviewed by Unknown on August 07, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.