Seo Services

Tiga Lagi Jenazah Mangsa Nahas MH17 Dibawa Pulang

AMSTERDAM, 23 Ogos (Bernama) -- Tiga lagi jenazah mangsa tragedi MH17 warga Malaysia dibawa pulang ke tanah air menerusi pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang berlepas di sini pada 12 tengah hari tadi (6 petang waktu Malaysia).

Ketiga-tiga jenazah diletakkan di dalam satu keranda dan dua kendi yang berisi abu mayat, kata jurucakap Kedutaan Malaysia di sini.

Sementara itu menurut sumber, satu lagi jenazah beragama Islam dijangka dibawa keluar dari Kem Perubatan Tentera Hilversum dekat sini untuk menjalani proses pengurusan jenazah sebelum dihantar pulang.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tiga jenazah mangsa tragedi MH17 itu dijangka tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8.30 pagi esok.

Mereka adalah jenazah ketua pramugara MAS, Mohd Ghafar Abu Bakar dan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ng Shi Ing, manakala identiti jenazah ketiga tidak didedahkan atas permintaan pihak keluarga.

"Berikutan itu dua jenazah akan melalui istiadat penghormatan jenazah seperti yang diadakan untuk kumpulan pertama semalam.

"Tempoh bertafakur seminit (seluruh negara) turut diadakan antara 8.30 pagi hingga 9 pagi dan akan diumumkan menerusi televisyen dan radio," kata Liow dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata istiadat itu akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jenazah Allahyarham Mohd Ghafar akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, Selangor manakala abu mayat mendiang Ng akan dibawa ke Xiao En Bereavement Care Sdn Bhd, di Cheras, di sini.

Beliau juga meminta semua pihak agar menghormati permintaan dan privasi keluarga jenazah ketiga yang mahu identiti jenazah tersebut dirahsiakan.

Sementara itu Liow berkata kumpulan ketiga jenazah mangsa MH17 warganegara Malaysia dijangka dibawa pulang ke tanah air pada 30 Ogos ini.

"Kita masih belum dapat memastikan jumlah dan identiti jenazah yang akan dibawa pulang kerana ada proses dokumentasi yang perlu diselesaikan. Ada beberapa keluarga mangsa tersebut kini berada di Belanda," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersatu dalam kesedihan pada Hari Perkabungan Negara semalam.

Setakat ini, pihak berkuasa Belanda mengenal pasti 30 mayat rakyat Malaysia mangsa nahas MH17, termasuk 20 yang sudah dibawa pulang ke tanah air semalam untuk disemadikan.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Selain 43 warga Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.-- BERNAMA

Tiga Lagi Jenazah Mangsa Nahas MH17 Dibawa Pulang Tiga Lagi Jenazah Mangsa Nahas MH17 Dibawa Pulang Reviewed by Admin on August 24, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.