Seo Services

Wabak MERS-CoV: Jemaah Haji Dinasihati Jaga Kesihatan



KUCHING: Jemaah-jemaah Haji dari Sarawak dinasihatkan agar menjaga kesihatan mereka sewaktu menjalani ibadat Haji mereka di Tanah Suci Mekah.

Menteri Muda (Hal Ehwal Islam) di Pejabat Ketua Menteri Datuk Haji Daud Abdul Rahman berkata sekiranya mereka mengalami sebarang batuk atau demam, mereka harus segera pergi ke klinik kami sama ada di Madinah atau Mekah untuk pemeriksaan.

"Elakkan dari melawat ladang-ladang unta di sana, lebih-lebih lagi wabak MERS-CoV (Sindrom Pernafasan Timur Tengah - virus korona) yang kini dilaporkan telah tersebar di Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah sekarang.

Daud, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong ditemui pemberita ketika menghadiri majlis Keberangkatan Jemaah Haji Penerbangan KT 36A (MH8044) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pagi tadi.

"Jemaah-jemaah Haji juga haruslah mengambil air yang mencukupi untuk mengelak daripada kekurangan air kerana cuaca di sama begitu kering dan panas," kata Daud lagi.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, terdapat seramai 558 Jemaah Haji Negeri Sarawak yang dijangka akan berangkat ke tanah suci melalui dua penerbangan terus dari lapangan Terbang Kuching iaitu melalui MM8042-KT33 pada hari ini dan juga melalui MH8044-KT36A pada Khamis, 11 September 2014 bagi tahun 2014M/1435H.

Dalam pada itu, seramai 51 orang Jemaah Haji terdiri daripada Imam-imam dan ketua Kaum/Pengerusi JKK telah terpilih dibawah Program Khas Haji Perdana Menteri. Kesemua jemaah haji ini terpilih dari seluruh bahagian Negeri  Sarawak.

Pecahan jumlah jemaah Haji KT 36A seramai 278 orang adalah seperti berikut: Kuching (270 orang), Miri (empat orang), Limbang (tiga orang), Lain-lain (seorang) dan jumlah keseluruhan jemaah Haji Lelaki (128 orang) dan Wanita (150 orang).

Seperti yang kita tahu, Tanah suci Makkah hanya dapat menampung lebih kurang empat juta jemaah Haji sedangkan jumlah orang Islam dari seluruh Dunia termasuk Malaysia yang hendak menunaikan Haji adalah terlalu ramai.

“Atas sebab inilah persidangan Negara-Negara islam (OIC) menetapkan kuota untuk setiap negara adalh pada kadar 0.1 peratus dari jumlah penduduk sesebuah negara,” katanya sambil menambah masalah jemaah terpaksa menunggu giliran bukan hanya berlaku di negara Malaysia, malah semua negara terutama negara-negara Islam di Rantau Asia Barat dan rantau ini.

“Bagi negeri Sarawak yang memiliki jumlah penduduk 2.5 juta secara asasnya seharusnya memiliki kuota sebanyak 2,500 jemaah haji daripada keseluruhan 28,300 kuota negara pada tahun ini,” tambahnya lagi.

Namun perkara ini tidak berlaku kerana pemilihan untuk menunaikan haji oleh pihak Tabung Haji adalah berdasarkan sistem pengiraan ‘First Come First Serve’.

Hal ini telah menyebabkan sebanyak 40,115 orang dari negeri Sarawak yang telah mendaftar Haji sejak tahun 2009 sehinga 15 April 2014 belum dapat menunaikan Haji.

Kerajaan Negeri sarawak sentiasa memberikan sokongan dalam memastikan jemaah haji dari negeri ini mendapat bimbingan serta bantuan sebelum berangkat dan juga semasa berada di Tanah suci. -Sarawakiana



Wabak MERS-CoV: Jemaah Haji Dinasihati Jaga Kesihatan Wabak MERS-CoV: Jemaah Haji Dinasihati Jaga Kesihatan Reviewed by uMieySurianie on September 11, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.