BINTULU: Tema ‘1Bahasa, 1Bangsa 1Negara’ sempena Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dilihat menjadi alternatif rakyat di negara ini untuk menghayati dan menghargai bahasa Melayu sebagai jati diri bangsa.
Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar),Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, kekuatan sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya sekali gus membantu membentuk negara berdaulat.
“Semangat nasionalisme dapat dilihat melalui usaha rakyatnya memperkasa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,” katanya dalam teks yang dibaca oleh Timbalan Residen (Sosial) Richard Michael Abunawas mewakili Dr Rundi pada majlis penangguhan Kolokium Lestari Bahasa di Hotel Kemena Plaza semalam.
Justeru katanya, apabila kita sentiasa memandang tinggi bahasa Melayu, pembentukan jati diri akan berjaya dicapai dengan cara bermaruah.
Beliau berkata, di negara ini, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan terhadap kedudukan istimewa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Katanya, kedudukan istimewa ini diterjemah melalui penggubalan dan pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan supaya bahasa kebangsaan terus berada pada kedudukan tinggi. - UB
Bahasa Melayu Satukan Masyarakat Berbilang
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
October 17, 2014
Rating:
No comments: