Seo Services

Beberapa Negara Komited Kongsi Maklumat PPP


PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menyumbang idea dan pengalaman menjayakan sistem Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dengan negara anggota Komanwel, di samping melakukan pembaharuan berdasarkan perkongsian pengalaman dengan negara yang lebih terkehadapan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata beberapa negara seperti Kanada, Australia dan New Zealand telah menyatakan hasrat untuk bersama-sama Malaysia dalam berkongsi kejayaan PPP masing-masing dengan negara Komanwel yang lain.

Presiden Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) itu berkata negara seperti Kenya dan Ghana berminat untuk belajar daripada Malaysia serta mendapatkan bantuan kepakaran negara dalam PPP terutamanya bidang infrastruktur.

"Malaysia mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam urusan kerjasama antara awam dan swasta, malah negara akan berusaha memperkenalkan beberapa konsep transformasi yang digunakan di Malaysia ... tambahan pula pada masa ini kita lihat permintaan anggota CAPAM adalah lebih kepada keupayaan Malaysia dalam PPP.

"Mereka memerlukan kepakaran Malaysia untuk menangani isu-isu strategik bagi kebaikan negara masing-masing ... dalam masa sama negara seperti Kanada, Australia dan New Zealand turut ingin terlibat dalam perkongsian maklumat mengenai PPP," katanya dalam temu bual eksklusif di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Isnin.

Ali berkata banyak negara menghadapi isu kelembapan terutamanya daripada segi pelaksanaan infrastruktur, justeru mereka amat memerlukan inisiatif antaranya untuk mengurangkan perbelanjaan awam melalui PPP.

"Terdapat beberapa cara ... bukan mudah untuk terus menerima pakai model negara lain, tetapi mereka perlu melihat kepada keadaan di negara mereka, dari segi kapasiti ekonomi, keupayaan dan juga respons.

"Ia perlu membawa kepada keadaan menang-menang, kerajaan tidak menanggung semua kerugian kerana pada asasnya kami berkongsi risiko tetapi sudah pasti sektor swasta akan dapat lebih banyak faedah," katanya.

Ali berkata dalam masa sama, Malaysia turut mengambil peluang untuk menambah baik sistem PPP yang digunakan dengan mengkaji modul yang digunakan oleh Kanada, Australia dan New Zealand.

"Mungkin ada beberapa perkara yang perlu kita boleh dapatkan lebih banyak penjelasan dan meneliti dengan lebih mendalam, sebelum ia boleh diadaptasi di Malaysia," katanya.

Beliau berkata negara-negara Komanwel optimis untuk mempertingkatkan hubungan PPP di negara masing-masing dan untuk permulaan, Malaysia mewujudkan Pusat Kecemerlangan, iaitu CAPAM atau mana-mana negara Komanwel boleh mengadakan kerjasama berkaitan dengan PPP.

Ali, yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Pengarah CAPAM yang baharu, berkata badan itu bertekad membawa pembaharuan dan penambahbaikan yang lebih positif untuk penggal 2014 hingga 2016.

"Dalam mesyuarat itu antara bidang yang kita tekankan termasuklah menambah 'networking' bagi memperkenalkan CAPAM dengan seluasnya, di mana ahli-ahli lembaga yang merupakan ketua perkhidmatan awam di negara masing-masing apabila bertemu dengan rakan-rakan di luar negara, juga bertindak sebagai duta CAPAM," katanya.

Ali berkata mesyuarat itu turut membincangkan mengenai permintaan beberapa agensi antarabangsa untuk bekerjasama dengan CAPAM termasuk Bank Dunia serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) seperti bergabung dalam penganjuran beberapa program.

CAPAM 2014 yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Sekretariat Komanwel, bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu'. Ia berlangsung selama tiga hari di PICC dan akan berakhir esok.- BERNAMA
Beberapa Negara Komited Kongsi Maklumat PPP Beberapa Negara Komited Kongsi Maklumat PPP Reviewed by Unknown on October 20, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.