SRI AMAN: Setiap kali pembentangan belanjawan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetap menyuarakan cadangan kepada Perdana Menteri untuk membantu golongan sasar di bawah kementerian berkenaan.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata antara perkara dicadangkan ialah elaun bantuan orang tua, pesakit terlantar dan golongan orang kurang upaya (OKU) daripada RM300 kepada RM500.
Selain itu, kata beliau pihaknya turut mencadangkan dana RM100 juta untuk membantu golongan wanita dari segi pelbagai aspek seperti bidang keusahawanan, pendidikan dan sebagainya.
“Kita turut mencadangkan untuk mendapat pengecualian cukai bagi perbelanjaan anak-anak yang membantu ibu bapa sakit atau terlantar dan sebagainya,” katanya pada Majlis Penyerahan Lembu sempena Hari Raya Aidiladha di Kampung Hilir, Sri Aman di sini petang semalam.
Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berharap segala cadangan itu mendapat perhatian dan dipertimbangkan sewajarnya bagi membantu rakyat.
Hadir sama Pemanca Mas Shamsiah Maslem serta ketua-ketua kaum dari Kampung Hulu, Kampung Hilir, Kampung Stumbin serta Penempatan Semula Kampung Pulau Seduku, Lingga.
Pada majlis itu, Rohani menyerahkan lima ekor lembu kepada wakil lima kampung iaitu Kampung Hilir Sri Aman, Kampung Hulu, Kampung Pangkat, Penempatan Baharu Kampung Pulau Seduku dan Kampung Lingga. - UB
Belanjawan: Peluang Cadangkan Bantuan Ringankan Beban
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 06, 2014
Rating:
No comments: