Seo Services

Ekonomi Dan Pendapatan Sarawak Meningkat


BA’ KELALAN: Ekonomi dan pendapatan Sarawak dipacu daripada RM500 juta kepada RM700 juta setahun kerana Sarawak muncul sebagai pengeluar kayu tropika utama dalam pasaran dunia berdasarkan keluasan hutan seluas 12.4 juta hektar yang dimiliki negeri ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sebagai langkah ke hadapan, Sarawak banyak mencapai kemajuan dalam pembangunan sosioekonomi melalui aktiviti berorientasi perkayuan.

"Keupayaan Sarawak untuk mengeluar kayu bertitik tolak daripada pematuhan amalan pengurusan hutan yang baik," katanya dalam ucapan perasmian Denai Hutan Semulajadi di SK Ba’ Kelalan Long Langai petang kelmarin. 

Tengah memberitahu, dianggar lebih 100,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan oleh industri perkayuan di negeri ini malah perkembangan positif itu juga turut meletakkan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai pengurusan hutan terbaik di dunia.

“Manakala melalui pertukaran wang asing pula, angkanya mencecah RM7 bilion setahun. Ini dilihat sebagai hasil yang amat membanggakan,” katanya sambil menambah, selain itu, kawasan tanah tinggi Ba’ Kelalan akan turut dibangunkan dengan pelbagai kemudahan dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk.

Beliau berkata, pembangunan pelbagai kemudahan seperti rumah pemprosesan garam bukit bernilai RM500,000 boleh diguna komuniti untuk menjanakan pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Tengah turut memberi jaminan bahawa usaha memperkasa pembangunan masyarakat akan berterusan dengan memastikan Jabatan Hutan Sarawak serta agensi berkaitan dapat merangka program pembangunan terutama untuk komuniti di Ba’ Kelalan pada masa mendatang.

“Diharapkan penglibatan semua individu atau syarikat berkemampuan untuk tampil serta memberi sumbangan dalam membangun komuniti tempatan berdekatan,” katanya.

Tengah kemudiannya melakukan acara pecah tanah untuk rumah pemprosesan garam gunung di Ba’ Kelalan selain meninjau kawasan konservasi hutan di SK Ba’ Kelalan.

Turut hadir ialah Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Saleh, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, wakil Pengarah Perhutanan Sarawak Simon Sandi dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Awang Ibrahim Ahmat. - Sarawakiana
Ekonomi Dan Pendapatan Sarawak Meningkat Ekonomi Dan Pendapatan Sarawak Meningkat Reviewed by JANUARIUS on October 13, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.