Seo Services

JDT Gah Layak Separuh Akhir Piala Malaysia


JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim berjaya menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Terengganu 3-1 di Stadium Larkin, malam tadi.

Dua gol daripada bekas ketua pasukan negara, Shafiq Rahim pada minit ke-15 dan 74 serta satu daripada Luciano Figueroa (m-21) sudah memadai untuk tuan rumah memenangi perlawanan suku akhir kedua dan layak atas agregat 3-1.

Gol tunggal Terengganu adalah sumbangan Ashari Samsuddin pada minit ke-59.

Dalam perlawanan suku akhir pertama di Kuala Terengganu, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Dengan kemenangan ini, JDT pimpinan Bojan Hodak akan menentang FELDA United FC dalam separuh akhir pertama pada 20 Oktober ini.

Dalam satu lagi saingan peringkat sama, Kedah akan menentang Pahang pada 19 Oktober ini di Alor Setar.

Sebaik wisel permulaan, JDT memulakan aksi dengan corak permainan agresif dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pelawat.

Namun, jaringan pertama skuad Harimau Selatan hadir pada minit ke-15 selepas Mohd Nazrin Mohd Nawi membuat hantaran lintang sebelum Safiq menanduk masuk, menewaskan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee.

Figueroa menambah jaringan buat pasukan tuan rumah pada minit ke-21 selepas menerima hantaran cantik Mohd Amri Yahyah.

Skuad Penyu bangkit selepas rehat dan sifat gigih mereka berhasil apabila berjaya merapatkan jurang pada minit ke-59 hasil gerakan solo Ashari.

Bagaimanapun, Safiq mengesahkan laluan JDT ke separuh akhir dengan jaringan pada minit ke-74 hasil hantaran Amri.-BH
JDT Gah Layak Separuh Akhir Piala Malaysia JDT Gah Layak Separuh Akhir Piala Malaysia Reviewed by Unknown on October 17, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.