Seo Services

Lapan Muzium Jayakan Pameran Tekstil Di Kuching


KUCHING: Lapan buah muzium di Kepulauan Borneo, masing-masing dari Sarawak, Sabah dan Kalimantan, Indonesia, menyertai Pameran Wastra Borneo 2014, yang sedang berlangsung di Muzium Tekstil Sarawak di Bangunan Pavillion di sini.

Muzium terlibat ialah Muzium Sarawak, Muzium Sabah, Muzium Brunei, Muzium Provinsi Kalimantan Barat, Muzium Kapuas Raya Sintang (Kalimantan), Muzium Provinsi Kalimantan Timur, Muzium Kalimantan Selatan dan Muzium Provinsi Kalimantan Tengah.

Pameran bertema 'Serupa Tapi Tak Sama: Mengasyikkan' itu hasil kerjasama beberapa muzium di Kepulauan Borneo seperti Sabah, Brunei, Kalimantan dan Jakarta untuk mempamerkan koleksi tekstil yang terdapat di daerah masing-masing.

Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Ipoi Datan berkata program berkenaan bertujuan mengeratkan kerjasama antara institusi muzium di Kepulauan Borneo, terutama dalam bidang permuziuman.

Katanya pameran itu diadakan buat julung kali di Muzium Tekstil Jakarta dari 4 hingga 16 Jun 2013 dengan tema 'The Beauty of Diversity'.

Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak Liwan Lagang ketika berucap merasmikan pameran berkenaan hari ini, berkata masyarakat Kepulauan Borneo sememangnya sangat kaya dengan khazanah tekstilnya seperti pua kumbu di Sarawak, songket (Brunei) dan batik (Indonesia), yang menjadi bahan 'connoisseur'.

Katanya kesenian tenunan dan tekstil memainkan peranan yang sangat penting dalam adat budaya masyarakat setempat, contohnya pua kumbu di Sarawak yang sehingga kini masih dianggap tekstil 'suci' dan penghasilan motifnya bergantung kepada kedudukan penenunnya.

"Ia juga memainkan peranan penting dalam adat budaya masyarakat Iban, seperti ketika kelahiran anak, semasa perayaan Gawai, perkahwinan dan selepas 'ngayau' (istiadat memenggal kepala).

"Begitu juga di negara-negara jiran kita, tekstil dianggap harta pusaka yang harus dipertahankan walaupun terpaksa bertarung nyawa, seperti di Indonesia batik dipakai oleh pahlawan dan sebagai bahan hantaran semasa perkahwinan atau semasa adat keramaian," katanya.

Liwan berkata di negara Brunei songket mempunyai kedudukan yang amat istimewa sebagai peralatan atau pakaian kesultanan.

Ilmu muzium baharu menuntut institusi muzium untuk bekerjasama dengan masyarakat sekeliling memandangkan ia memerlukan satu sama lain dalam membina masyarakat yang berjati diri melalui penyelidikan dan koleksi yang tersimpan atau dipamerkan, katanya.

Katanya muzium tidak lagi diukur berdasarkan jumlah koleksi yang dikumpul, bilangan kakitangan, kedudukan kewangan atau kemudahan yang ada, sebaliknya pertimbangan dan manfaat yang disediakan kepada individu dan masyarakat.- BERNAMA
Lapan Muzium Jayakan Pameran Tekstil Di Kuching Lapan Muzium Jayakan Pameran Tekstil Di Kuching Reviewed by Unknown on October 22, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.