NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencipta sejarah tersendiri apabila tiga negara bergabung dalam menganjurkan majlis jamuan malam menjelang hari pengundian bagi Kerusi Tidak Tetap Majlis Keselamatan badan dunia itu.
Tiga negara itu adalah Malaysia, Angola dan Venezuela yang masing-masing adalah calon bagi setiap benua dalam usaha akhir melobi sebelum hari pengundian, hari ini.
Majlis resepsi itu mendapat sambutan hangat dengan kehadiran ramai wakil-wakil tetap daripada hampir kesemua 193 negara yang menganggotai badan dunia itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada sidang media selepas majlis itu, berkata majlis bersama itu adalah dedikasi tiga negara yang berkongsi matlamat sama.
Beliau berkata usaha merentasi wilayah berkenaan adalah permulaan kepada kerjasama lebih erat antara negara, juga wakil kepada Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), untuk berada dalam Majlis Keselamatan.
"Berdasarkan rekod cemerlang Malaysia dalam beberapa isu di bawah pengawasan PBB, kita sangat yakin Malaysia mampu menyumbang secara signifikan untuk bekerjasama dengan Angola dan Venezuela dan juga ahli Majlis Keselamatan yang lain.
Malaysia mewakili Asia Pasifik, adalah calon tunggal bagi rantau itu, manakala Angola pula mewakili benua Afrika dan Venezuela calon bagi Amerika Selatan dan Caribbean.
Venezuela diwakili oleh Menteri Hal Ehwal Luar dan Rakyat, Rafael Ramirez Carreno manakala Angola diwakili Setiausaha Hubungan Luar, Manuel Domingos Augusto.
Pengundian secara sulit oleh 193 negara anggota badan dunia itu akan bermula 10 pagi.
Malaysia pernah menjadi ahli tidak tetap Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga kali iaitu pada 1965, 1989-1990 dan bagi tempoh 1999-2000. - BERNAMA
Malaysia, Angola, Venezuela Cipta Sejarah PBB
Reviewed by Unknown
on
October 16, 2014
Rating:
No comments: