KUCHING: Bagaikan memenuhi hasrat terakhir rakan karibnya iaitu bekas jaguh Mr Asia, Allahyarham Bujang Taha, 77, untuk "bertemu" dengannya, Datuk Abdul Malek Mohamed Noor tiba jua di Kuching petang tadi.
Ketibaan Malek Noor, yang juga merupakan jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sambut oleh Pengerusi PBB Cawangan Batu Lintang Dato' Haji Idris Buang.
Laut Cina Selatan bagaikan tidak mampu memutuskan tali siratulrahim kedua bekas juara bina badan Asia, biarpun terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda, Malek Nor yang dikatakan mengalami kecederaan di kakinya datang juga merentas lautan bagi menziarahi pusara Allahyarham Bujang Taha.
Jelas terpapar kesedihan dan kesebakan di raut wajah Malek Noor ketika di sambut oleh rombongan yang menantinya.
Allahyarham Bujang, yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) meninggal dunia akibat komplikasi daripada barah mulut dan paru-paru pada jam 10.47 malam semalam.
Allahyarham Bujang ketika terlantar sakit di katil hospital pada hari Sabtu lepas menyatakan beliau sungguh teruja ingin bertemu dengan Malek Noor dijadualkan untuk menziarahinya pada hari ini.
Jenazah Allahyarham Bujang Taha telah dibawa pulang ke rumahnya di 107, Kampung Tanjong di Petra Jaya semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya pada jam 1.00 petang tadi.
Allahyarham Bujang merupakan antara perintis bina badan Sarawak di mana pada era kegemilangannya, beliau telah merangkul kejuaraan Asia sebanyak dua kali iaitu pada 1980 dan 1981. - Sarawakiana
Al-Fatihah
Malek Noor Tiba Di Kuching Untuk Menyempurnakan Hasrat Terakhir Bujang Taha
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 13, 2014
Rating:
No comments: