KUALA LUMPUR: Misi dan komitmen Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) untuk memastikan wujudnya pembangunan lestari, membasmi kemiskinan, meningkatkan dialog antara budaya dan membina keamanan akan sentiasa dan terus memberi inspirasi bagi Malaysia, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia komited dan akan sentiasa berpegang teguh pada kecekapan serta prinsip Unesco tentang perkara itu.
Ketika mengulangi hasrat negara ini untuk menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Unesco bagi penggal 2015-2019, beliau berkata tahun 2015 merupakan platform penting bagi Malaysia untuk melibatkan diri secara langsung dalam pelaksanaan agenda pasca 2015 Unesco.
"Kami percaya kepada kepelbagaian sebagai kekuatan dan melalui gabungan kepelbagaian global, kami percaya Malaysia boleh dan akan menambah kekuatannya sebagai tonggak kestabilan serta kebijaksanaan dalam memperbaiki nasib umat manusia," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Unesco Malaysia di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Turut hadir, Prof Dr Hubert Gijzen, pengarah Pejabat Serantau Unesco di Jakarta.
Sambutan Hari Unesco selama dua hari itu, yang bertemakan "Warisan Kita, Warisan Dunia", dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan Unesco Malaysia (MNCU).
Muhyiddin, yang juga presiden MNCU, berkata kerajaan meluluskan beberapa projek pada awal tahun ini di bawah Dana Amanah Malaysia (MFiT), dan dua projek itu sedang giat dilaksanakan.
"Selepas saya membuat pengumuman tentang sambutan Hari Unesco 2013 di Melaka, Malaysia disenaraikan sebagai antara negara penderma melalui Program Kerjasama Malaysia-Unesco (MUCP) berikutan pemeteraian perjanjian mengenai penubuhan MFiT pada 5 April tahun lepas.
"Pelaksanaan projek di bawah MFiT MUCP membuka lembaran baharu dalam usaha membantu mengukuhkan hubungan rapat sedia ada antara Malaysia dan Unesco serta menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai anggota Unesco," katanya.
Pada majlis itu, Gijzen menyerahkan kepada Muhyiddin instrumen yang mengiktiraf Banjaran Crocker di Sabah sebagai Rezab Biosfera Dunia di bawah program Manusia dan Biosfera Unesco.
Menurut Muhyiddin, Banjaran Crocker merupakan tapak kedua yang mendapat pengiktirafan itu selepas Tasik Chini di Pahang pada 2009.
"Kejayaan ini menunjukkan kesungguhan negara dalam mewujudkan keseimbangan di antara pemuliharaan alam sekitar dan aktiviti pembangunan melalui pendekatan pembangunan secara mampan.
"Sebagai negara anggota Majlis Penyelarasan Antarabangsa MAB (MAB-ICC) sehingga tahun 2017, Malaysia tentunya lebih komited untuk mempromosikan keharmonian alam semulajadi, selaras dengan matlamat MAB yang berteraskan kelestarian hubungan di antara komuniti penduduk dan alam sekitar," katanya. - Bernama
Misi, Komitmen Unesco Terus Jadi Inspirasi Bagi Malaysia
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 19, 2014
Rating:

No comments: