KUALA LUMPUR: Polis mematahkan sindiket dadah antarabangsa dengan menahan 11 anggota sidiket itu serta merampas dadah jenis syabu seberat 30.3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM3 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata mereka yang ditahan Sabtu lepas, terdiri daripada sembilan warga Nigeria, seorang wanita warga Tanzania dan seorang wanita tempatan dari Sarawak.
"Sindiket dadah itu didalangi warganegara Nigeria yang menyeludup dadah dalam kuantiti besar menggunakan perkhidmatan kargo untuk pasaran Malaysia dan negara jiran.
"Dadah ini dirampas di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 11 Okt, yang diletakkan di dalam 24 paket makanan bijiran segera dengan setiap satunya dianggarkan antara 1 kilogram hingga 1.5 kilogram," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Noor Rashid berkata susulan itu, beberapa serbuan dilakukan di sekitar Lembah Klang kira-kira 1.30 petang pada hari sama dan menahan dua ketua sindiket Nigeria itu yang berusia dalam lingkungan 30-an dan semua anggotanya yang berusia antara 24 dan 54 tahun.
"Kita tahan dua dalang sindiket ini, di sebuah kondominium mewah di Bangsar manakala anggota sindiket lain ditahan di sekitar Lembah Klang.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua dalang sindiket ini tidak menetap di Malaysia sebaliknya keluar dan masuk (Malaysia) mengikut keperluan manakala anggota sindiket pula menggunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar," katanya.
Beliau percaya sindiket itu mempunyai kaitan dengan sindiket dadah tempatan.
Selain itu, katanya sindiket berkenaan adalah besar dan terancang berdasarkan kualiti syabu yang dirampas.
"Berdasarkn pemantauan setahun terhadap sindiket itu, mereka dikesan menyeludup dadah secara kecil-kecilan antaranya menggunakan bungkusan, keldai dadah dan sebagainya," katanya.
Noor Rashid meminta wanita tempatan supaya lebih berhati-hati semasa berkenalan dengan warganegara Nigeria memandangkan mereka menyasarkan wanita tempatan untuk dijadikan keldai dadah bagi memudahkan kegiatan penyeludupan.
Beliau berkata polis akan mengesan saki baki sindiket itu dan menyiasat semua anggota yang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dengan tangkapan itu, sebanyak 39 warganegara Nigeria ditahan kerana dipercayai menyeludup dan mengedar dadah sepanjang Oktober ini, katanya. - Bernama
Polis Patahkan Sindiket Dadah Antarabangsa, Rampas Syabu RM3 Juta
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 13, 2014
Rating:
No comments: