Seo Services

RISDA Telah Melahirkan 113 Usahawan Di Sarawak


KUCHING: Seramai 113 usahawan dalam pelbagai bidang berjaya dilahirkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Sarawak sehingga kini, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais.

Selain itu katanya, 12 kumpulan Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) dengan keahlian seramai 334 orang telah ditubuhkan dengan memfokuskan kepada bidang sosial, ekonomi dan keagamaan.

“Sepanjang lima tahun RISDA beroperasi di negeri ini, banyak aktiviti telah dilaksanakan bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan pekebun kecil di sini.

“Sebelum ini, ramai yang mengetahui RISDA adalah satu agensi Pembangunan Tanam Semula Getah sahaja tetapi hari ini RISDA turut menjaga semua urusan pekebun kecil yang terlibat dengan tanaman getah khasnya dalam menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bengkel Pembangunan Usahawan & Wanita Pekebun Kecil RISDA Negeri Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di sini, semalam.

Justeru beliau berharap seiring dengan perubahan teknologi dan permintaan tinggi pada masa ini, wanita perlu lebih berani dengan merebut peluang yang ada dalam memastikan pendapatan keluarga lebih kukuh dan terjamin.

“Bengkel ini diadakan bagi mengiktiraf golongan usahawan wanita pekebun kecil di mana peranan mereka pada era yang maju dan moden ini sangat penting dalam membentuk keluarga yang harmoni dan berjaya.

“Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan dan penglibatan kepada pekebun kecil dan ahli isi rumah (AIR) dalam aktiviti RISDA seperti Usahawan Bimbingan RISDA, Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) dan Kelab Generasi Muda RISDA (KGMR) serta peluang memajukan perusahaan kecil yang telah dijalankan sekali gus menambah pendapatan isi rumah,” jelasnya.

Bagi bantuan usahawan pula, peruntukan yang telah diluluskan setakat 2009 hingga 2014 untuk empat bantuan iaitu AET, Pembangunan Usahawan, Kelab Usahawan RISDA (RISEC) dan PWPK ialah sebanyak RM686,232 dengan bilangan penerima seramai 1,198 orang.

Terdahulu, Pengarah RISDA Negeri Sarawak Wahid Marican Mohamad Daud Marican dalam ucapan alu-aluannya memberitahu, RISDA menyasarkan pekebun kecil getah di negeri ini memperoleh pendapatan RM2,500 sebulan sekeluarga pada 2015.

Menurutnya, untuk mencapai matlamat tersebut RISDA menggalakkan pesertanya terlibat dengan aktiviti ekonomi dan keusahawanan.

“Sehingga kini, lebih 70 orang telah kami bantu di bawah aktiviti ekonomi dengan memberi latihan dan bengkel, termasuk pelbagai program kesejahteraan keluarga melalui perkumpulan wanita di kampung.

“Bukan itu sahaja, pelbagai program khas lain turut disediakan bagi membantu keluarga pekebun kecil getah di negeri ini seperti Biasiswa Anak Pekebun Kecil dan Program Tuisyen Desa,” jelasnya,

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengarah Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Kameri Afandi. - UB
RISDA Telah Melahirkan 113 Usahawan Di Sarawak RISDA Telah Melahirkan 113 Usahawan Di Sarawak Reviewed by JANUARIUS on October 15, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.