MIRI: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem menunjukkan kepimpinannya dalam menangani masalah pembalakan haram membelenggu Sarawak selama beberapa dekad ini.
Presidennya Mohamed Idris dalam kenyataannya berkata, Adenan sendiri mengutuk aktiviti pembalakan haram dan mengumumkan kerajaan akan melengkapkan 50 pegawai penguat kuasa kanan dengan senjata bagi memerangi kegiatan tersebut.
“Adenan turut kesal dengan pembalakan haram yang memusnahkan hutan dan kepelbagaian hidupan liar di Sarawak.
“Justeru SAM berharap Ketua Menteri itu mengotakan janjinya dan benar-benar serius dalam menangani isu ini,” katanya.
Mohamed berkata demikian ketika mengulas penemuan longgokan besar balak yang dirampas di kolam balak Sungai Pelutan di Baram Tengah, Sarawak oleh kakitangan lapangan SAM baru-baru ini.
“Kami amat kecewa apabila mendapati bahawa kayu balak yang dirampas itu adalah spesies tapang (koompassia excelsa).
“Tapang adalah spesies tumbuhan dilindungi di bawah Jadual Kedua Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak kerana jarang ditemui dan ia adalah pokok penting bagi lebah madu bersarang,” katanya.
Disebabkan kepentingannya, menebang pokok tapang adalah dilarang.
Hukuman perlanggaran peraturan ini ialah penjara maksimum setahun atau denda RM10,000.
“Kami memuji tindakan pantas Jabatan Perhutanan menyita balak itu dan menganggap proses undang-undang sedang dijalankan.
“Bagaimanapun, kami menggesa agensi itu meneruskan penyiasatan kerana kami bimbang jumlah yang disita mungkin hanya sebahagian kecil daripada bilangan lebih besar,” ujarnya.
Beliau menambah, oleh kerana sabitan perlanggaran peraturan pembalakan jarang berlaku di Sarawak yang terkenal dengan pemusnahan hutan akibat amalan pembalakan yang tidak mapan, SAM menggesa Peguam Negara mengarahkan pegawai pendakwa meminta penalti paling berat terhadap pihak yang melakukan kesalahan di mahkamah.
“Sehubungan itu. SAM menggesa Adenan menunjukkan kepimpinan beliau dalam menangani masalah pembalakan haram yang membelenggu Sarawak selama beberapa dekad lalu yang beliau juga kutuk, bermula dengan kes ini.
“Kami juga menggesa Jabatan Perhutanan Sarawak mendedahkan kepada awam tentang tindakan diambil setakat ini ke atas kes ini.
“Jika didapati bersalah, orang ramai mesti tahu sama ada pihak terlibat sememangnya diberikan lesen membalak kawasan berkenaan atau jika mereka memiliki permit di kawasan lain,” katanya.
SAM mencadangkan sekiranya didapati bersalah, kerajaan harus membatalkan semua lesen pembalakan mereka untuk menjadi contoh kepada bakal pesalah lain.-BP
SAM Mahu Adenan Serius Tangani Isu Pembalakan Haram Di Sarawak
Reviewed by uMieySurianie
on
October 07, 2014
Rating:

No comments: