Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hajah Nancy Sukri berkata beliau tidak pernah sama sekali menyokong Presiden PERKASA Dato' Ibrahim Ali mahupun pandangan agamanya.
Menurut setiausaha politiknya Mohammed Kamaluddin Effendie semalam yang di petik dari The Borneo Post, beliau (Nancy) datang dari latar belakang pelbagai kaum, beliau tidak akan menyokong mana-mana sentimen yang bersifat perkauman dan agama mahupun ketidakadilan terhadap orang bukan Islam.
Nancy, sebelum ini telah dikritik teruk oleh beberapa pihak terutama di media sosial selepas beliau menjawab di Parlimen persoalan berkaitan mengapa Ibrahim Ali tidak dikenakan tindakan kerana mengancam untuk membakar kitab Bible.
"Kedua pihak polis dan AG (Peguam Negara) tidak boleh memberi apa-apa jawapan dalam Parlimen. Saya sebagai Menteri yang menjaga perundangan di Pejabat Perdana Menteri, harus bertindak bagi pihak mereka.
Apapun, ianya adalah hasil siasatan polis ataupun keputusan Peguam Negara, saya hanya membaca keputusan mereka tersebut di Parlimen kerana mereka sendiri tidak boleh melakukannya di sana.
"Harus diingatkan bahawa ianya adalah keputusan Peguam Negara untuk tidak mengenakan tindakan terhadap Dato Ibrahim di bawah Akta Hasutan, dan keputusan itu dibuat berdasarkan penyiasatan polis.
"Sebagai seorang menteri atau salah seorang pemimpin negara, saya harus mendukung kedaulatan undang-undang, tetapi ia tidak bermakna saya bersetuju dengan pandangan ekstremis Dato Ibrahim," kata Ahli Parlimen Batang Sadong tersebut.
Nancy menegaskan, beliau telah membesar dalam sebuah keluarga yang berbilang kaum, saudara-mara yang juga dari pelbagai kaum dan agama, jesteru bangsa dan agama tidak pernah menjadi isu kepada dirinya.
“Membesar di Sarawak, di mana memang tiada langsung permasalahan melibatkan bangsa dan agama, saya tidak pernah membayangkan bahawa satu hari nanti saya sendiri akan dilabelkan sebagai seorang anti-Kristian ataupun seseorang yang menyokong tindakan mengancam pembakaran kitab Bible.
"Jika anda tanya kepada masyarakat di kawasan Parlimen saya, saya rasa tiada siapa yang akan percaya (saya bersikap perkauman). Saya percaya semua rakyat Sarawak masih menyokong saya kerana mereka tahu siapa saya dan bagaimana saya memberi khidmat kepada mereka selama ini.
"Ketua gereja di kawasan saya boleh menjadi saksi. Penduduk yang beragama Buddha di kawasan saya juga tahu siapa saya. Selama bertahun-tahun, saya telah memberikan bantuan dan bersama mereka. Saya rasa mereka pasti terkejut jika mereka mengetahui bahawa saya telah dilabel sebagai seorang ‘rasis’ atau ‘anti-Kristian’," luah Nancy lagi.
"Rakyat Sarawak sendiri boleh menyemak rekod prestasi saya selama bertahun-tahun saya berkhidmat agar tidak akan sewenang-wenangnya mengambil kira serangan yang dilemparkan ke arahnya.
"Saya telah dihentam dengan teruk. Secara jujurnya, saya terasa amat kecewa sekarang walau bagaimanapun, selagi rakyat Sarawak mengenali siapa sebenarnya diri saya dan menyedari apa yang sedang berlaku, saya akan tetap tabah dan memberi khidmat kepada mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih. "
Pada minggu lepas, menjawab jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Lim Guan Eng, Nancy telah mengemukakan hasil siasatan polis mengenai dakwaan kenyataan Ibrahim yang mengancam untuk membakar kitab Bible dan keputusannya adalah; Peguam Negara tidak akan mendakwa Ibrahim Ali di bawah Akta Hasutan.
Jawapan Nancy tersebut telah menjurus kepada kritikan-kritikan keras kepadanya termasuk dilabelkan sebagai "penyokong Ibrahim Ali".
Sementara itu, pejabat Peguam Negara akan mengeluarkan satu laporan pada Jumaat ini selepas mesyuarat kabinet untuk menjelaskan keputusannya untuk tidak mendakwa Ibrahim Ali di bawah Akta Hasutan. - Sarawakiana
Saya Tidak Menyokong Ibrahim Ali Atau Pandangan Agamanya, Tegas Nancy
Reviewed by Unknown
on
October 16, 2014
Rating:

No comments: