Seo Services

Melecur Teruk Disimbah Air Panas


MUAR: Bukan setakat kepala dipukul menggunakan cota, seorang lelaki di sini, turut disimbah air panas oleh suami kepada anak angkatnya dalam kejadian di Batu 18 1/4, Air Hitam, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, Mohd Noor Abdullah, 55, melecur teruk pada bahagian muka dan badan serta cedera parah pada kepala.

Biras mangsa, Rubiah Manaf, 57, berkata, mangsa yang kematian isteri dua tahun lalu dan tidak mempunyai anak, membenarkan anak angkatnya dan suami tinggal bersama di rumahnya.

Menurutnya, insiden itu dipercayai berpunca daripada masalah kewangan memandangkan suami anak angkatnya itu tidak bekerja.

“Mereka bertengkar sebelum itu. Kejadian ini cuma disedari saudara yang tinggal berhampiran selepas terdengar Mohd Noor menjerit minta tolong sambil merangkak keluar.

“Ketika itu, Mohd Noor berlumuran darah di kepala dan kulitnya melecur. Saudara saya mengejutkan yang lain untuk membantu Mohd Noor,” katanya semalam.

Katanya, mangsa segera dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan berikutan keadaannya makin lemah.

Menurutnya, suspek telah melarikan diri bersama isteri dan dua anak mereka menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) KIA Citra milik mangsa.

Pengarah HPSF, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, mangsa melecur 35 peratus pada bahagian muka dan badan, dan kini dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan.

“Keadaan mangsa kini stabil. Dia dijangka menjalani rawatan dalam tempoh panjang berikutan lecur dialami agak serius. Dia akan dibenarkan pulang apabila luka lecur pulih,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Hanif Othman, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk memburu suspek.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. - SH
Melecur Teruk Disimbah Air Panas Melecur Teruk Disimbah Air Panas  Reviewed by JANUARIUS on November 28, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.