Seo Services

TERAS Akan Sertai BN Peringkat Persekutuan


JULAU: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) akan mengemukakan permohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat bila tiba masanya, kata presiden parti itu, Tan Sri William Mawan.

Bercakap kepada BERNAMA di Julau, beliau berkata parti itu telahpun mengemukakan permohonan menyertai BN di peringkat negeri.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial Sarawak berkata terdapat pemimpin dan orang-orang tertentu yang menganggap TERAS bukan sebahagian daripada BN.

"Tetapi jelas sekali saya seorang menteri kanan BN negeri. Apakah anda menjangka seseorang daripada pembangkang boleh menjadi menteri.

"Jadi nasihat saya kepada rakyat jangan percaya apa saja yang mereka dengar di kedai-kedai kopi.

"Mereka sedikit keliru, tetapi kami sedang berusaha menyelesai atau membetulkan hal ini, iaitu menjelaskan kepada rakyat dan para anggota kami di peringkat bawahan," katanya.

Mawan berkata beliau menyerahkan pada kebijaksanaan Perdana Menteri dan Ketua Menteri masing-masing selaku ketua BN pusat dan negeri untuk menentukan kerusi yang akan dipertahan atau ditandingi TERAS dalam pilihan raya negeri akan datang dijadualkan pertengahan 2016.

Terdahulu, Mawan melakukan upacara pecah tanah bagi Kompleks Sukan Julau bernilai hampir RM8 juta yang dijangka siap menjelang hujung tahun depan.

Beliau juga mengagihkan geran kerajaan berjumlah RM1.1 juta kepada lebih 100 buah rumah panjang, NGO dan persatuan di kawasan undangan negeri Meluan. - Bernama
TERAS Akan Sertai BN Peringkat Persekutuan TERAS Akan Sertai BN Peringkat Persekutuan Reviewed by Salfian Nawawi on November 29, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.