Seo Services

Empat Perkara Perlu Diberi Perhatian Oleh Penjawat Awam Dan Rakyat Untuk Tempoh 2015


PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh penjawat awam dan rakyat dalam bentuk ancaman dan cabaran bagi menempuh tahun 2015.

Najib berkata, perkara berkenaan termasuk cabaran keamanan, keharmonian dan keselamatan negara, rasuah, solidariti serta budaya berprestasi tinggi.

Najib berkata, antara ancaman kepada keselamatan negara ketika ini termasuk militan Negara Islam (IS) yang begitu serius sehingga kerajaan terpaksa membentangkan Kertas Putih mengenainya dan cabaran mengekalkan keamanan kaum.

"Sebab itu kita kekalkan Akta Hasutan dan akan memindanya, bukan untuk menyekat demokrasi atau mencengkam pembangkang," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Perdana Putra di sini, sebentar tadi.

Bagi membanteras rasuah, Najib berkata, tindakan lebih tegas harus dikenakan terhadap penerima dan pemberi rasuah serta salah guna kuasa kerana ia memudaratkan negara seperti yang berlaku di Cameron Highlands dan yang dilaporkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah.

"Kita juga harus memberi perhatian serius kepada penyatuan negara atau solidariti, satu proses yang memakan masa lama tapi kita kena tunjukkan kematangan yang lebih atas dasar saling menghormati antara satu sama lain," katanya.

Beliau juga mahu kakitangan awam mengamalkan budaya berprestasi tinggi termasuk soal cara bekerja, inovasi serta kreativiti.

"Kalau kita memberi perhatian kepada empat perkara ini, Malaysia akan lebih cemerlang pada tahun akan datang," katanya.

Pada perhimpunan itu juga, Najib turut menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan ke Rahmatullah. - BH
Empat Perkara Perlu Diberi Perhatian Oleh Penjawat Awam Dan Rakyat Untuk Tempoh 2015 Empat Perkara Perlu Diberi Perhatian Oleh Penjawat Awam Dan Rakyat Untuk Tempoh 2015 Reviewed by uMieySurianie on December 08, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.