Seo Services

SUPP Sokong Usaha Ketua Menteri


KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyokong penuh usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menurunkan tarif elektrik bagi pengguna komersial dan perindustrian tahun depan.

Sokongan ini telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung di Ibu Pejabat SUPP di sini semalam.

“Ini merupakan satu langkah yang amat bijak oleh Ketua Menteri kita untuk menggalakkan lagi kemunculan lebih banyak aktiviti perniagaan sama ada berbentuk komersial mahupun perindustrian.

“Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri yang lepas, kerajaan telah bersetuju untuk menurunkan tarif elektrik antara 20 hingga 40 peratus bagi pengguna domestik.

“Dan berita baik ini tidak hanya setakat itu sahaja apabila Ketua Menteri mengumumkan bahawa akan melakukan perkara yang sama untuk pengguna komersial dan perindustrian tahun depan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ting turut memuji usaha Ketua Menteri yang telah berjaya mengikat perjanjian dengan Petronas di Kuala Lumpur untuk rizab sebanyak RM2.1 bilion kepada syarikat minyak dan gas tempatan menjalankan perniagaan.

Menurut Ting, tidak pernah dalam sejarah negeri syarikat minyak dan gas tempatan diberi jaminan perniagaan seperti ini meskipun Sarawak merupakan sumber utama kepada hasil minyak dan gas negara.

“SUPP ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri atas usaha-usaha di luar jangkaan ini dan dalam masa yang singkat sahaja kita dapat lihat banyak usaha yang proaktif telah diambil oleh beliau untuk menjaga kepentingan dan hak-hak rakyat di negeri tanpa mengira bangsa dan agama.


“Kami berharap banyak lagi usaha seperti ini akan diperkenalkan pada tahun-tahun seterusnya termasuk menjaga perkara-perkara melibatkan soal pendidikan di kalangan masyarakat Cina,” ujarnya. - UB
SUPP Sokong Usaha Ketua Menteri SUPP Sokong Usaha Ketua Menteri Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek on December 08, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.