Seo Services

Isu Remaja Hamil, Jawatankuasa Pusat Sehenti Ditubuh



KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pusat sehenti remaja hamil untuk menangani isu berkenaan yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, kementerian berharap jawatankuasa itu akan ditubuhkan pada tahun depan sebagai satu permulaan sebelum menubuhkan Pusat Sehenti Remaja Hamil di hospital di negeri ini.

“Kita mulakan dengan jawatankuasa terlebih dahulu yang dianggotai oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan, Unit Perancang Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan dan banyak lagi.

“Selepas ia mantap kita akan menubuhkan Pusat Sehenti Remaja Hamil yang diharap sebelum menjelang tahun hadapan atau pada penghujung tahun ini,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat sehenti remaja hamil di Taman Seri Puteri di Telaga Air dekat sini, semalam.

Menurut Fatimah, melalui jawatankuasa itu ia dapat memberi perkhidmatan sokongan dan bantuan secara bersepadu serta holistik kepada remaja hamil di negeri ini.

Tambahnya, jawatankuasa berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk diiktiraf oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Fatimah berkata, tumpuan harus diberikan kepada remaja hamil supaya mereka bukan sahaja dapat dijaga dengan keadaan selamat semasa mengandung, tetapi juga aspek lain termasuk perlindungan dan pendidikan khasnya mereka yang sepatutnya masih berada di sekolah.

“Selain itu, kita di kementerian juga akan terus menumpukan tentang isu berkaitan dengan pencegahan dari segi kehamilan bagi mengelak trend semakin meningkat.

“Kita menyasar untuk menubuhkan Pusat Sehenti Remaja Hamil di hospital di Kuching terlebih dahulu sebelum diperkembangkan ke kawasan lain,” katanya.

Sementara itu, taklimat yang diadakan semasa mesyuarat menunjukkan bilangan dan peratusan kehamilan melibatkan remaja mengikut peringkat umur bagi tahun 2013 dan Oktober 2014 adalah sangat tinggi.

Pada tahun 2014 bagi remaja berusia 10 hingga 14 tahun sebanyak 120 kes berbanding hanya 108 kes pada tahun 2013, remaja berusia 15 hingga 17 tahun pula menunjukkan 1,349 kes (2014) berbanding 1,775 kes (2013).

Manakala bagi remaja berusia 18 hingga 19 tahun, sebanyak 1,319 kes (2014) berbanding 2,195 (2013).

Setakat Oktober 2014 kes kehamilan remaja di Sarawak yang dilaporkan sebanyak 2,792.


Hadir sama Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Dr Radziah Mohamad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Abang Shamshudin Abang Seruji. - UB
Isu Remaja Hamil, Jawatankuasa Pusat Sehenti Ditubuh Isu Remaja Hamil, Jawatankuasa Pusat Sehenti Ditubuh Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek on December 04, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.