KUALA LUMPUR: Kerajaan akan
mempertimbangkan untuk menukar kaedah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
dalam bentuk baucar atau kad pada masa depan bagi menggantikan pemberian dalam
bentuk wang tunai.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Chua Tee Yong berkata kerajaan hanya akan melaksanakan kaedah baharu itu
setelah mengambil kira keutamaan keperluan rakyat serta kemudahan infrastruktur
setempat dalam menggunakan kaedah itu.
“Kerajaan akan mempertimbangkan
kaedah pemberian BR1M dalam bentuk baucar atau kad pada masa hadapan, yang
hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan harian yang telah
dikenal pasti,” katanya menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman pada
persidangan Dewan Negara di sini semalam.
Chua berkata kerajaan akan
membuat kajian terperinci dan membuat penambahbaikan ke atas program bantuan
tahunan yang bermula pada 2012 itu, agar objektif kerajaan ke arah peralihan
subsidi bersasar tercapai.
“Bantuan ini diberikan secara
menyeluruh kepada semua yang layak tanpa mengira kaum, agama mahupun latar
belakang politik,” katanya.
Sementara itu, Chua berkata
sebanyak 216,374 rakyat tempatan telah diambil bekerja dalam 20 syarikat
berkaitan kerajaan (GLC) utama, yang tersenarai dalam Program Transformasi GLC
(G20), sehingga 31 Dis tahun lepas.
Menjawab soalan Senator Abdul
Shukor Mohd Sultan, Chua berkata jumlah itu adalah 85 peratus daripada
keseluruhan 254,042 orang yang diambil bekerja untuk syarikat berkenaan.
“GLC utama yang terlibat dalam
G20 juga secara berterusan menyediakan peluang latihan dan pembangunan diri
kepada para pekerjanya. Pada 2013, G20 telah membelanjakan RM513 juta bagi
tujuan melatih dan membangunkan kapasiti serta kompetensi para pekerja,”
katanya.
GLC sentiasa mengutamakan
rakyat tempatan dalam pengambilan pekerja mereka, malah antara sumbangan
terbesar syarikat itu kepada negara adalah penyediaan peluang pekerjaan kepada
rakyat Malaysia, kata Chua. — Bernama
Kaedah Pemberian BR1M Mungkin Ditukar
Reviewed by MRJ | Mr. Januarius Tomek
on
December 03, 2014
Rating:

No comments: