Lagu ciptaan Joe Flizzow dan Sonaone berjudul Apa Khabar muncul sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil di sini pada Ahad.
Dengan kemenangan lagu yang turut dinyanyikan oleh Joe Flizzow dan Sonaone itu, mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 dan sebuah trofi.
Apa Khabar berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain iaitu Gilalah (Stacy), Gadis Jolobu (Datuk Hattan & Waris), Malaikat (Hazama), Romancinta (Mojo) dan Lelaki (Najwa).
Turut bertanding adalah Matahari (Hafiz Suip), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Rentak Laguku (Bunkface & Amy Search), Sesal Separuh Nyawa (Alyah), Percayalah (Indah Ruhaila), dan Masih Aku Cinta (Shila Amzah).
Naib juara AJL 29 menjadi milik lagu ciptaan dan nyanyian Shila Amzah berjudul Masih Aku Cinta membawa pulang hadiah trofi dan wang tunai RM15,000.
Dalam pada itu, pemenang tempat ketiga dimenangi oleh lagu Di Pintu Syurga ciptaan Tam (Spider) dan Iman Imran nyanyian Dayang Nurfaizah.
Mereka berjaya menggondol hadiah trofi dan wang tunai sebanyak RM12,000.
Dayang turut diumumkan sebagai pemenang Vokal Terbaik pada malam itu dan membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000.
Manakala persembahan bertemaga kumpulan Mojo yang menyampaikan lagu Romancinta bersama Caliph Busker melayakkan mereka menerima Persembahan Terbaik sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Ekskutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.
Persembahan 12 finalis AJL 29 diadili seramai 10 juri profesional dari pelbagai latar belakang dalam bidang muzik iaitu Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Siti Nurhaliza, Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Acis, Loque, Cat Farish, Azlan Abu Hassan dan Moots (Pop Shuvit).
Azmeer bertindak sebagai ketua juri pada acara itu.
Penghakiman dilakukan berdasarkan markah sebanyak 80 peratus yang diadili terlebih awal manakala 20 peratus lagi melalui persembahan pada malam kemuncak.
Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL 29 mengangkat 'Gema Dalam Muzik' sebagai konsep dan tema persembahan pada tahun ini.
Hampir tiga dekad sejak penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutamanya memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.
Persembahan pembukaan acara itu turut memberikan interprestasi Gema Dalam Muzik apabila beberapa alat muzik dimainkan secara 'battle' oleh Black (Wings), Joe (Wings), Ujang (Exists), Rody (Kristal), Genervie dan Yanz (Letfhanded).
Datuk M.Nasir turut menyampaikan persembahan medley menerusi lagu Hati Emas dan Mentera Semerah Padi.
Enam protoge Mentor Legend iaitu Azmil, Fahmie, Tuah, Aina, Nadeera dan Sarah turut mengadakan sebuah persembahan khas bagi mengenang bencana dan musibah yang melanda negara sepanjang 2014.
Selain itu kumpulan terkenal Headwind, Tomok dan Ronnie turut memberikan persembahan pada malam itu.
AJL 29 yang disiarkan secara langsung di TV3 pada pukul 9 malam itu menyaksikan penampilan AG dan Scha Al-Yahya sebagai hos.
Manakala pelakon Juliana Evans dan kumpulan Titan (Bintang Mencari Bintang) diberikan mandat menemubual para finalis dalam segmen 'backstage'.
AJL 29 dipancarkan oleh Pamoga dan Qu Puteh sebagai penaja utama dan Nu Sentral selaku penaja bersama.-mStar
"Apa Khabar" Muncul Juara #AJL29
Reviewed by Unknown
on
January 19, 2015
Rating:
No comments: